
PETALING JAYA: Kemenangan sudah dalam genggaman, namun skuad hoki lelaki negara terpaksa mengharungi detik cemas sebelum menundukkan China 5-4 dalam aksi pembukaan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Stadium Hoki Surjit, hari ini.
Kejayaan itu memastikan Malaysia mengutip tiga mata pertama, tetapi perlawanan berkenaan jauh berbeza berbanding pertemuan di Sukan Asia Aichi-Nagoya, September lalu, apabila skuad negara membelasah China 5-0.
Malaysia membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi gol padang Azrai Aizad Abu Kamal namun, China bangkit menyamakan kedudukan menerusi Wang Yaqi pada minit ke-11 sebelum Ne Moda meletakkan pasukannya di depan seminit kemudian.
Azrai Aizad kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-14 sebelum Akhimullah Anuar Esook meledak gol untuk meletakkan Malaysia di hadapan 3-2.
China enggan mengalah apabila Chen Benhai menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-27 untuk merapatkan jurang. Faizal Saari kemudian melebarkan kelebihan Malaysia menerusi pukulan penalti pada minit ke-34.
Seminit selepas itu, Azimuddin Kamaruddin menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk gol kelima negara. Bagaimanapun, Chen Benhai sekali lagi menghukum pertahanan Malaysia menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-44.
Jaringan itu memastikan China terus memberikan tekanan, sekali gus memaksa Malaysia mempertahankan kelebihan tipis sehingga tamat perlawanan bagi mengelakkan kemenangan terlepas.
Skuad negara kini perlu segera melupakan aksi mendebarkan itu dan memperkemas permainan menjelang pertemuan dengan Korea Selatan dalam perlawanan kedua, Khamis ini. – UTUSAN
The post Malaysia lepas ujian getir China appeared first on Utusan Malaysia.






