“Malaysia mempunyai bakat dan keupayaan…”- Tengku Hassanal labur RM2.3 juta dalam syarikat AI

LocalBusiness & Finance
22 Sep 2026 • 12:24 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah, akan melabur sebanyak AS$552,500 (RM2.3 juta) dalam syarikat teknologi kecerdasan buatan (AI) yang disenaraikan di Nasdaq, Sagtec Global Ltd, menerusi penempatan persendirian.

Sagtec berkata Tengku Hassanal bersetuju untuk melanggan 850,000 saham biasa Kelas A pada harga AS$0.65 sesaham.

Menurut syarikat itu, penempatan berkenaan masih tertakluk kepada syarat penutupan lazim termasuk kelulusan lembaga pengarah serta pematuhan terhadap undang-undang sekuriti dan keperluan Nasdaq.

Jumlah langganan itu perlu dibayar dalam tempoh enam bulan selepas penerbitan saham, manakala pembayaran awal dibenarkan tanpa penalti.

Image from: “Malaysia mempunyai bakat dan keupayaan…”- Tengku Hassanal labur RM2.3 juta dalam syarikat AI

Sagtec berkata suntikan ekuiti berkenaan akan mengukuhkan fleksibiliti kewangannya tanpa menambah pinjaman atau bayaran faedah dan prinsipal yang dijadualkan.

Hasil daripada pelaburan itu akan digunakan bagi menyokong pembangunan dan pengkomersialan perisian berbantukan AI serta platform teknologi perusahaan, infrastruktur awan dan digital, projek perusahaan, pembangunan perniagaan serta modal kerja.

Syarikat itu turut menyasarkan untuk mengembangkan perniagaannya di Malaysia dan pasaran Asia Tenggara yang lain.

“Malaysia mempunyai bakat dan keupayaan untuk membangunkan syarikat teknologi yang mampu bersaing di peringkat serantau dan antarabangsa.
“Saya percaya Sagtec mempunyai potensi yang bermakna untuk menyumbang kepada kemajuan ini melalui usaha syarikat dalam bidang kecerdasan buatan, perisian perusahaan dan infrastruktur digital.
“Pelaburan saya mencerminkan keyakinan saya terhadap hala tuju syarikat, pengurusan serta potensi pertumbuhan jangka panjangnya,”kata Tengku Hassanal.

Image from: “Malaysia mempunyai bakat dan keupayaan…”- Tengku Hassanal labur RM2.3 juta dalam syarikat AI

Sementara itu, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Sagtec, Ng Chen Lok, berkata syarikat itu ‘amat berbesar hati’ menerima Tengku Hassanal sebagai pelabur strategik.

“Pelaburan ini mencerminkan keyakinan yang bermakna terhadap visi, keupayaan teknologi dan hala tuju perniagaan jangka panjang kami.
“Keutamaan kami adalah menggunakan modal ini secara berhemah untuk inisiatif yang mampu menjana pendapatan mampan, memperkukuh hubungan dengan pelanggan serta mengembangkan perniagaan perisian dan perkhidmatan teknologi berasaskan pendapatan berulang,”ujar baginda.

Sumber: BH Online 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved