
PETALING JAYA: Malaysia bakal memperkukuh kehadiran perdagangan di China menerusi penyertaan 67 syarikat tempatan pada Pameran China-ASEAN (CAEXPO) ke-23 2026, sekali gus memanfaatkan peluang perdagangan yang semakin berkembang dan memperluas akses pasaran bagi pengeksport Malaysia.
Diselaraskan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), penyertaan Malaysia akan berlangsung dari 17 hingga 21 September ini di Nanning International Convention & Exhibition Center (NICEC), Guangxi, China.
Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Indera Abu Bakar Yusof berkata, CAEXPO menyediakan platform secara langsung yang terbukti berkesan kepada pengeksport Malaysia untuk berinteraksi dengan pembeli utama, memahami perubahan permintaan pengguna dan meletakkan tawaran bernilai tinggi secara strategik.
“Menerusi CAEXPO 2026, Matrade kekal komited membantu perusahaan tempatan menterjemahkan hubungan yang terjalin kepada hasil komersial yang nyata dan mampan.
“Pada tahun ini, syarikat Malaysia akan mempamerkan produk dan perkhidmatan dalam sektor utama termasuk kecerdasan buatan (AI), peranti perubatan, produk isi rumah, makanan dan minuman, hasil pertanian, penjagaan diri dan kosmetik, farmaseutikal serta pelancongan.
“Penyertaan itu memberi peluang kepada syarikat Malaysia untuk menjalinkan hubungan dengan pembeli, pengedar dan rakan niaga, selain meningkatkan keterlihatan serta daya saing mereka di pasaran China dan ASEAN,” katanya dalam kenyataan.
China kekal sebagai rakan dagangan tunggal terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut sejak 2009, sekali gus mencerminkan kepentingan strategik pasaran itu terhadap pertumbuhan perdagangan dan eksport negara.
Selain itu, prestasi perdagangan Malaysia dengan China dan ASEAN terus mencatat momentum kukuh pada 2026.
Bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, perdagangan dengan China meningkat 33.4 peratus kepada RM391.60 bilion, manakala eksport berkembang 24.3 peratus kepada RM127.87 bilion.
Dalam tempoh sama, perdagangan dengan ASEAN meningkat 23.7 peratus kepada RM552.23 bilion, didorong pertumbuhan eksport sebanyak 20.3 peratus kepada RM315.67 bilion.
Prestasi itu menunjukkan permintaan berterusan di rantau ini terhadap barangan dan perkhidmatan keluaran Malaysia.
Dalam pada itu, penyertaan Malaysia pada CAEXPO 2026 turut menyusuli pencapaian memberangsangkan pada edisi ke-22 tahun lalu apabila Pavilion Malaysia yang diketuai Matrade menjana jualan lebih RM300 juta.
CAEXPO ke-23 turut berlangsung ketika rantau ini menyaksikan beberapa pencapaian penting, termasuk ulang tahun kelima Perkongsian Strategik Komprehensif China-ASEAN serta usaha berterusan melaksanakan Protokol Naik Taraf Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) 3.0.
Sepanjang lima hari penganjuran, Matrade akan menganjurkan sesi perniagaan kepada perniagaan (B2B) yang disusun khusus bagi membantu syarikat Malaysia membentuk saluran eksport baharu ke pasaran antarabangsa. – UTUSAN
The post Malaysia perkukuh kehadiran pasaran China di CAEXPO 2026 appeared first on Utusan Malaysia.






