
KRISIS bukan sesuatu yang asing bagi Malaysia. Dalam tempoh hampir tiga dekad, negara telah melalui beberapa episod ekonomi yang menguji bukan sahaja kekuatan dasar kerajaan, malah ketahanan institusi, perniagaan dan rakyat.
Daripada krisis kewangan Asia 1997/1998, krisis kewangan global 2008/2009, pandemik Covid-19, sehinggalah kepada ketidaktentuan geopolitik yang sedang membentuk ekonomi dunia hari ini, setiap krisis hadir dengan punca dan bentuk yang berbeza.
Namun, ada satu persamaan penting. Setiap krisis mengajar kita bahawa kestabilan ekonomi tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang kekal. Ia perlu dibina, dipelihara dan dipertahankan secara berterusan.
Krisis kewangan Asia 1997/1998 merupakan antara ujian ekonomi paling getir dalam sejarah moden Malaysia.
Kejatuhan nilai ringgit, aliran keluar modal, kemerosotan pasaran saham dan peningkatan masalah hutang korporat memberi tekanan besar kepada keseluruhan sistem kewangan.
Pada September 1998, Malaysia memperkenalkan langkah kawalan modal terpilih dan menetapkan kadar pertukaran ringgit pada RM3.80 bagi setiap dolar Amerika Syarikat (AS).
Pada masa yang sama, proses penstrukturan sektor kewangan dan korporat diperkukuh melalui institusi seperti Pengurusan Danaharta Nasional Berhad (Danaharta), Danamodal Nasional Berhad (Danamodal) dan Jawatankuasa Penstrukturan Semula Hutang Korporat (CDRC).
Pengalaman tersebut meninggalkan satu pengajaran besar: Ketika berhadapan krisis, keberanian membuat keputusan perlu disertai keupayaan institusi untuk melaksanakannya.
Sedekad kemudian, dunia berhadapan pula dengan krisis kewangan global 2008/2009. Kali ini pusat krisis bukan Asia, tetapi sistem kewangan negara maju, khususnya AS.
Namun, sebagai sebuah ekonomi yang terbuka dan bergantung kepada perdagangan antarabangsa, Malaysia tetap menerima tempias apabila permintaan eksport dan aktiviti ekonomi dunia merosot.
Malaysia memasuki krisis ini dengan sistem kewangan yang lebih kukuh hasil pembaharuan selepas 1997/1998.
Kerajaan memperkenalkan dua pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM67 bilion: Pakej pertama RM7 bilion yang diumumkan pada November 2008 dan pakej kedua RM60 bilion pada Mac 2009.
Dasar monetari turut dilonggarkan; Bank Negara Malaysia menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) daripada 3.50 peratus kepada 2.00 peratus antara November 2008 hingga Februari 2009, iaitu pengurangan keseluruhan 150 mata asas.
Pengalaman 1997/1998 telah menjadikan negara lebih bersedia menghadapi kejutan berikutnya.
Ini menunjukkan bahawa pembaharuan yang dilakukan selepas sesuatu krisis bukan sahaja penting untuk proses pemulihan, tetapi juga menjadi benteng apabila kejutan baharu berlaku.
Kemudian datang Covid-19. Krisis kali ini sama sekali berbeza. Ia bukan bermula daripada kelemahan mata wang atau sistem perbankan. Aktiviti ekonomi terpaksa dibataskan bagi melindungi kesihatan dan nyawa.
Perniagaan tidak dapat beroperasi seperti biasa, pergerakan masyarakat terbatas, rantaian bekalan terganggu dan pendapatan sebahagian isi rumah terjejas dalam tempoh yang singkat.
Tindak balas negara juga perlu berbeza. Pelbagai bantuan dan rangsangan diperkenalkan dengan tumpuan kepada sistem kesihatan, kebajikan rakyat, kelangsungan perniagaan dan pekerjaan.
Menurut Kementerian Kewangan, lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi bernilai keseluruhan RM530 bilion telah diumumkan sejak pandemik melanda.
Penting untuk difahami bahawa angka RM530 bilion tersebut merangkumi langkah fiskal dan bukan fiskal; ia bukan keseluruhannya perbelanjaan langsung kerajaan.
Sekali lagi, Malaysia belajar bahawa dalam krisis, kekuatan ekonomi bukan sekadar diukur melalui Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), rizab atau kedudukan fiskal.
Keupayaan melindungi pekerjaan, memastikan perniagaan terus beroperasi dan membantu isi rumah menghadapi kehilangan pendapatan juga merupakan sebahagian daripada ketahanan ekonomi negara.
Krisis hari ini tidak mempunyai satu wajah
Kini kita berhadapan dengan persekitaran yang lebih kompleks. Risiko geopolitik, konflik di beberapa bahagian dunia, ketegangan perdagangan antara kuasa-kuasa besar, perubahan dasar tarif, gangguan rantaian bekalan serta turun naik harga tenaga dan komoditi boleh memberi kesan kepada ekonomi Malaysia walaupun konflik tersebut berlaku jauh dari negara kita. Inilah realiti sebuah ekonomi terbuka.
Apabila laluan perdagangan terganggu, kos pengangkutan boleh meningkat. Apabila harga tenaga dunia berubah, kos pengeluaran turut terjejas.
Apabila kuasa ekonomi besar mengubah dasar perdagangan, eksport dan pelaburan boleh menerima kesannya.
Apabila pasaran kewangan global menjadi tidak menentu, mata wang dan aliran modal negara membangun juga boleh terdedah kepada turun naik.
Namun, pengalaman tiga krisis terdahulu menunjukkan bahawa Malaysia bukan memasuki persekitaran ini tanpa kekuatan.
Kita mempunyai sistem kewangan yang telah melalui pembaharuan besar, pengalaman mengurus pelbagai bentuk kejutan, asas ekonomi yang pelbagai serta hubungan perdagangan dengan banyak negara.
Malaysia juga mempunyai kedudukan penting dalam rantaian bekalan serantau, termasuk sektor elektrik dan elektronik, semikonduktor, komoditi, perkhidmatan dan ekonomi digital.
Tetapi pengalaman lalu tidak bermaksud kita boleh berasa terlalu selesa.
Ketahanan seterusnya perlu dibina sekarang
Cabaran terbesar ialah memastikan kekuatan tersebut terus diperkukuh. Malaysia perlu mengurangkan kebergantungan berlebihan kepada mana-mana satu pasaran, sumber atau industri.
Diversifikasi perdagangan perlu diteruskan, rantaian bekalan domestik perlu diperkukuh dan perusahaan tempatan perlu meningkatkan produktiviti serta keupayaan teknologi.
Pada masa yang sama, disiplin fiskal perlu bergerak seiring dengan perlindungan terhadap kumpulan yang benar-benar memerlukan.
Ruang fiskal amat penting kerana ketika krisis berlaku, kerajaan memerlukan keupayaan untuk bertindak.
Reformasi ketika ekonomi berada dalam keadaan relatif stabil sebenarnya merupakan sebahagian daripada persediaan menghadapi krisis yang belum berlaku. Begitu juga dengan isi rumah.
Ketahanan ekonomi negara akhirnya bermula daripada ketahanan kewangan jutaan keluarga.
Isi rumah yang mempunyai simpanan kecemasan, mengurus hutang dengan baik, tidak mudah terpedaya dengan skim pelaburan dan membuat keputusan kewangan secara rasional akan lebih berupaya menghadapi kejutan pendapatan atau peningkatan kos sara hidup.
Di sinilah rakyat mempunyai peranan yang lebih besar daripada yang sering kita sedari. Menjaga kestabilan ekonomi bukan bermaksud rakyat perlu berbelanja tanpa batas untuk ‘membantu ekonomi’.
Sebaliknya, kita perlu menjadi pengguna, pekerja, pelabur dan usahawan yang lebih bijak.
Membeli berdasarkan kemampuan, meningkatkan kemahiran, menyokong perniagaan tempatan yang berdaya saing, mengelakkan hutang tidak produktif dan meningkatkan literasi kewangan semuanya menyumbang kepada daya tahan ekonomi.
Kita juga perlu lebih cakna terhadap maklumat ekonomi. Dalam era media sosial, khabar angin mengenai ringgit, bank, harga barang atau keadaan ekonomi boleh tersebar dalam beberapa minit.
Tindakan berasaskan panik boleh memburukkan sentimen. Masyarakat yang mempunyai literasi ekonomi dan kewangan yang baik lebih mampu membezakan antara risiko sebenar dengan persepsi yang dibentuk oleh maklumat tidak tepat.
Kestabilan ekonomi ialah tanggungjawab bersama
Jika ada satu pengajaran yang boleh kita bawa daripada 1997 hingga hari ini, ia adalah bahawa setiap krisis akan berlalu, tetapi cara kita keluar daripada krisis menentukan kekuatan kita menghadapi krisis berikutnya.
Malaysia keluar daripada krisis 1997/1998 dengan pembaharuan besar dalam sektor kewangan dan korporat. Kita menghadapi 2008/2009 dengan institusi kewangan yang lebih kukuh.
Covid-19 pula memperlihatkan pentingnya perlindungan sosial, keupayaan digital dan kelangsungan perniagaan. Cabaran geopolitik hari ini seharusnya menjadi dorongan untuk kita membina tahap ketahanan yang seterusnya.
Kerajaan perlu menyediakan dasar yang kredibel dan responsif. Institusi perlu kekal kukuh. Sektor swasta perlu terus meningkatkan produktiviti dan daya saing.
Namun, rakyat juga mempunyai tanggungjawab untuk mengurus kewangan dengan berhemah, meningkatkan kemahiran, membuat keputusan berdasarkan maklumat yang sahih dan mengelakkan tindakan yang didorong oleh panik.
Kita mungkin tidak mampu menentukan bila krisis dunia seterusnya akan berlaku atau dari mana ia akan datang. Tetapi kita boleh menentukan sejauh mana kita bersedia menghadapinya.
Kekuatan Malaysia bukan semata-mata kerana kita pernah melalui beberapa krisis. Kekuatan sebenar ialah keupayaan kita belajar daripada setiap krisis dan membina ekonomi yang lebih bersedia untuk menghadapi kejutan berikutnya.
Dalam dunia yang semakin tidak menentu, ketahanan ekonomi Malaysia bukan hanya tugas kerajaan. Ia adalah tanggungjawab kita bersama. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Shazida Jan Mohd. Khan ialah Felow Bersekutu, Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM).
The post Malaysia perlu belajar daripada krisis ekonomi appeared first on Utusan Malaysia.






