
NEW DELHI, 12 SEPT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengundang Ethiopia untuk menubuhkan kedutaan di Kuala Lumpur dalam pertemuan dua hala beliau dengan rakan sejawatan dari negara itu Abiy Ahmed.
Pembukaan semula kedutaan Malaysia di Addis Ababa pada September 2025 selepas 43 tahun menandakan kemajuan ketara dalam hubungan dua hala kedua-dua negara.
Perbincangan turut menyentuh momentum positif yang dijana oleh kunjungan timbal balik kedua-dua pemimpin.
Lawatan Perdana Menteri Ethiopia ke Malaysia adalah pada 2024 manakala Anwar melawat Etiopia pada 2025.
Perdana Menteri berkata kedua-dua pihak bersetuju bahawa rundingan dua hala yang pertama akan diadakan di Kuala Lumpur tahun depan bagi mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara.
Bidang kerjasama lain yang dibincangkan termasuk produk halal, pertanian, keselamatan makanan, farmaseutikal, perkhidmatan digital, tenaga boleh diperbaharui dan pelancongan.
Anwar juga menyatakan penghargaannya atas sokongan Ethiopia terhadap penglibatan Malaysia dalam BRICS semasa pertemuan kedua-dua pemimpin itu di luar Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 di sini.
Penyertaan Malaysia dalam sidang kemuncak berkenaan adalah atas kapasitinya sebagai negara rakan kongsi BRICS sejak 1 Jan 2025.
Ethiopia, negara dikelilingi daratan paling ramai penduduk di dunia, disenaraikan sebagai rakan dagangan ke-26 terbesar Malaysia di benua Afrika pada 2023.
Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Ethiopia berjumlah RM446.8 juta pada 2023, dengan eksport dari Malaysia ke Ethiopia bernilai RM358.6 juta, mewakili peningkatan 24.6 peratus daripada tahun sebelumnya.






