liza11/08/2026 - 18:17 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Ogos – MR DIY Group (M) Berhad mengisytiharkan dividen sebanyak RM464.4 juta bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 (1HFY2026), meningkat 69.2% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Jumlah itu merangkumi dividen interim kedua sebanyak RM123.2 juta dan dividen interim tambahan sebanyak RM189.6 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY2026).
Ketua Pegawai Eksekutif MR DIY, Adrian Ong berkata, pembayaran dividen itu mencerminkan keyakinan kumpulan terhadap kekuatan kewangan jangka panjang serta komitmennya untuk memberikan pulangan yang mampan kepada pemegang saham.
Beliau berkata, kedudukan kewangan yang sihat dan aliran tunai operasi yang kukuh membolehkan MR DIY terus memberi ganjaran kepada pemegang saham, di samping mengekalkan pelaburan bagi menyokong pertumbuhan kumpulan dalam jangka panjang.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, hasil kumpulan meningkat kepada RM2.6 bilion, manakala hasil bagi 2QFY2026 pula mencecah RM1.3 bilion, didorong terutamanya oleh sumbangan daripada kedai-kedai baharu.
Pertumbuhan Kedai Pacu Jualan Dan Transaksi
Pertumbuhan rangkaian kedai turut membantu meningkatkan jumlah transaksi pelanggan, yang berkembang 9.8% tahun ke tahun kepada 106.2 juta transaksi bagi 1HFY2026.
Bagi 2QFY2026 pula, jumlah transaksi meningkat 7.3% tahun ke tahun kepada 52 juta, menunjukkan peningkatan aktiviti pembelian dalam rangkaian kedai MR DIY.
Pada masa sama, jumlah keseluruhan kedai kumpulan meningkat 7.2% tahun ke tahun kepada 1,610 kedai, sekali gus mengukuhkan kehadiran MR DIY di pasaran Malaysia dan Brunei.
Bagi mengukuhkan hubungan dengan pelanggan serta menggalakkan pembelian berulang, kumpulan itu turut memperkenalkan MR DIY Club, iaitu program kesetiaan pelanggan pertamanya yang menawarkan ganjaran bagi perbelanjaan harian.
Melalui ciri Akaun Keluarga (Family Account), sehingga lima ahli keluarga boleh menghubungkan keahlian masing-masing dan mengumpulkan mata ganjaran dalam satu akaun bersama, membolehkan mereka memperoleh ganjaran dengan lebih pantas.
Kos Meningkat Tekan Keuntungan Bersih
Dari segi keuntungan kasar, MR DIY mencatat peningkatan 7% tahun ke tahun kepada RM1.3 bilion bagi 1HFY2026, manakala keuntungan kasar bagi 2QFY2026 naik 2.9% kepada RM596.2 juta.
Margin keuntungan kasar bagi 2QFY2026 kekal stabil pada 47.4%, dengan manfaat daripada kos import yang lebih rendah susulan pengukuhan Ringgit diimbangi oleh pelaksanaan kempen promosi secara bersasar.
Bagaimanapun, keuntungan selepas cukai kumpulan susut 1.9% tahun ke tahun kepada RM326.4 juta bagi 1HFY2026, manakala keuntungan selepas cukai bagi 2QFY2026 merosot 15.2% kepada RM134.4 juta.
Kemerosotan itu terutama disebabkan peningkatan kos kakitangan, utiliti dan susut nilai susulan peluasan rangkaian kedai, selain kesan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas perbelanjaan sewaan yang berkuat kuasa mulai Julai 2025.
Walaupun berdepan tekanan terhadap keuntungan, MR DIY meningkatkan pembayaran dividen bagi 1HFY2026 kepada RM464.4 juta, bersamaan nisbah pembayaran kumulatif sebanyak 142.3%, manakala jumlah dividen 10 sen sesaham bagi tempoh empat suku terakhir memberikan hasil dividen (dividend yield) sebanyak 6.6% berdasarkan harga penutup saham RM1.52. - DagangNews.com






