amree10/08/2026 - 17:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Ogos – Well Chip Group Berhad berhasrat menambah 12 cawangan kedai pajak gadai baharu bagi memperkukuh kedudukan pasaran dan meningkatkan capaian pelanggan di Melaka serta Johor.
Langkah strategik ini diambil selepas kumpulan merekodkan prestasi kewangan positif dengan untung bersih mencecah RM52 juta bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (1HFY26).
Rancangan pengembangan ini namun berdepan cabaran termasuk kelewatan kelulusan awal Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta tempoh pengubahsuaian premis yang memakan masa.
"Selain itu, prestasi segmen runcit barangan kemas mencatatkan penurunan hasil 19.6% pada suku kedua akibat jumlah jualan emas sekerap yang lebih rendah," maklum Well Chip kepada Bursa Malaysia.
Bagi tempoh 1HFY26 ujarnya, keuntungan selepas cukai (PAT) kumpulan melonjak 36% berbanding RM38 juta pada tempoh sama tahun lalu, manakala hasil naik 17% kepada RM148 juta daripada RM126 juta.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ng Hooi Lang menyatakan prestasi cemerlang itu dipacu oleh permintaan secara berterusan daripada pelanggannya terhadap proses pembiayaan yang lebih pantas dan cekap.

Beliau menegaskan pembukaan 12 cawangan baharu Well Chip melibatkan enam outlet pertama dibiayai melalui dana tawaran awam permulaan (IPO), manakala baki menggunakan modal cadangan terbitan hak.
"Kerja-kerja pengubahsuaian bagi premis kumpulan pertama itu dijangka tamat dalam tempoh 10 bulan dari tarikh kelulusan bersyarat bagi membolehkan permohonan lesen akhir dapat dilakukan," katanya.
Segmen perkhidmatan pajak gadai terus menjadi penyumbang utama dengan hasil suku kedua (2Q26) meningkat kira-kira 44.8% kepada RM41.93 juta berbanding hanya RM28.95 juta pada suku sebelumnya.
Well Chip kini mengendalikan 27 kedai pajak gadai dan lima kedai runcit barangan kemas di kawasan strategik Johor serta Perak, dengan proses perluasan menjadikan 39 outlet secara keseluruhan.
Lembaga Pengarah juga memutuskan dilanjutkan tempoh penggunaan baki dana IPO selama 12 bulan hingga 22 Julai 2027 bagi pematuhan syarat kawal selia dan memastikan kerja pengubahsuaian lancar.
"Kumpulan memiliki permodalan pasaran mencecah RM630 juta setakat 10 Ogos 2026, dan membolehkan mengekalkan momentum pertumbuhan sambil terus memberikan nilai kepada pemegang saham," jelasnya.
Pada masa sama, Well Chip kekal optimis dengan penambahan sejumlah cawangan baharu akan menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan dalam jangka sederhana. - DagangNews.com






