Malaysia tewas tipis 2-3 kepada Indonesia di suku akhir

22 Sep 2026 • 9:02 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Malaysia tewas tipis 2-3 kepada Indonesia di suku akhir

PETALING JAYA: Skuad lelaki badminton negara berjaya menghadirkan tentangan sengit sebelum kecundang 2-3 kepada Indonesia pada suku akhir Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Aichi, Jepun, hari ini.

Leong Jun Hao yang diletakkan selaku pemain perseorangan pertama menghadiahkan mata yang tidak diduga apabila dia mengejutkan bintang No. 1 dunia, Jonatan Christie 20-22, 21-12, 21-17 dalam masa 1 jam 19 minit.

Mendahului 1-0 ke atas pilihan pertama tersebut, beregu No. 6 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani menggalas misi untuk mencari kemenangan kedua Malaysia.

Namun begitu, hajat tersebut tidak kesampaian apabila Sze Fei-Izzuddin tunduk kepada beregu No. 2 dunia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri 15-21, 21-19, 10-21 dalam masa 50 minit.

Kekalahan tersebut, membuka laluan kepada Indonesia mengikat skuad negara kepada kedudukan 1-1.

Pemain ke-48 dunia, Justin Hoh yang diletakkan selaku perseorangan kedua, bagaimanapun gagal meneruskan kecemerlangan rakan seperjuangan, Jun Hao.

Anak jati Kuala Lumpur itu tewas kepada pemain No. 10 dunia, Alwi Farhan 19-21, 19-21 dalam masa 53 minit dan sekali gus, menyaksikan skuad negara dipintas Indonesia 1-2.

Malaysia yang terdesak mencari mata penyamaan, berjaya bangkit menerusi beregu pecah ganding, Aaron Chia-Tee Kai Wun yang berjaya membenam Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin 17-21, 21-16, 21-13 dalam masa 53 minit.

Bagaimanapun, hasrat skuad kebangsaan untuk mencipta kejutan tidak kesampaian, apabila pemain muda negara, Eogene Ewe terpaksa akur kepada pemain No. 28 dunia, Mohammad Zaki Ubaidillah 11-21, 11-21 dalam masa 35 minit.

Walaupun tewas 2-3 kepada negara tetangga, keputusan yang dicatat barisan pemain Malaysia tidaklah mengecewakan, selepas 12 tahun gagal mara ke suku akhir pada temasya empat tahun sekali itu. – UTUSAN

The post Malaysia tewas tipis 2-3 kepada Indonesia di suku akhir appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved