Sukan Asia: Skuad bola keranjang wanita pulang tanpa kemenangan

22 Sep 2026 • 10:41 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sukan Asia: Skuad bola keranjang wanita pulang tanpa kemenangan

PETALING JAYA: Hasrat skuad bola keranjang wanita negara untuk menamatkan kempen Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan kemenangan tidak kesampaian apabila tewas 81-89 kepada Mongolia dalam aksi terakhir Kumpulan C, hari ini.

Walaupun sekali lagi gagal mengutip mata kemenangan, anak buah Tomohiro Moriyama mempamerkan persembahan paling meyakinkan sepanjang kejohanan apabila memberi tentangan sengit kepada Mongolia di Arena Antarabangsa Aichi.

Malaysia berjaya mengimbangi permainan lawan pada separuh masa pertama, namun Mongolia mula mengambil alih rentak perlawanan pada suku ketiga sebelum membuka jurang yang sukar dikejar.

Skuad negara cuba bangkit pada suku terakhir dengan memperkemaskan serangan dan mengurangkan defisit mata, namun masa tidak menyebelahi mereka apabila Mongolia berjaya mempertahankan kelebihan untuk mengesahkan kemenangan.

Pemain tengah negara, Tan Pei Jie mengakui kecewa kerana Malaysia gagal memanfaatkan peluang untuk meraih kemenangan pertama dalam kejohanan itu.

“Saya rasa kami sepatutnya boleh beraksi dengan lebih baik. Kami mahu bertahan dengan baik di kawasan dalam (inside), terutamanya mengekang pergerakan pemain utama mereka seperti Amari Robinson dan Khulan Onolbaatar.

“Namun, agak sukar untuk menentang mereka disebabkan faktor ketinggian, tetapi kami tetap memberikan aksi terbaik untuk menang,” katanya.

Kekalahan itu melengkapkan kempen sukar Malaysia dalam Kumpulan C selepas turut tewas kepada Korea Selatan 40-106 dan Taiwan 59-98 dalam dua perlawanan terdahulu.

Namun begitu di sebalik tiga kekalahan berturut-turut, prestasi skuad negara menunjukkan peningkatan yang jelas daripada satu perlawanan ke satu perlawanan, terutama ketika berdepan Mongolia apabila berjaya memberi saingan hingga ke wisel penamat.

Pencapaian itu sekurang-kurangnya memberi petanda positif buat program pembangunan bola keranjang wanita negara yang kembali beraksi dalam acara 5×5 Sukan Asia buat kali pertama sejak edisi Busan 2002.-UTUSAN

The post Sukan Asia: Skuad bola keranjang wanita pulang tanpa kemenangan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved