Malaysia tidak terkecuali risiko berikutan isu sistem peti sejuk pasar raya digodam di Eropah, kata pakar siber

LocalTechnology
11 Nov 2026 • 10:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia tidak terkecuali risiko berikutan isu sistem peti sejuk pasar raya digodam di Eropah, kata pakar siber Image from: Malaysia tidak terkecuali risiko berikutan isu sistem peti sejuk pasar raya digodam di Eropah, kata pakar siber amree11/11/2026 - 10:30 Gambar hiasan - Foto DagangNews.com Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Nov — Serangan siber terhadap sistem penyejukan pasar raya di Eropah yang digodam menyebabkan makanan rosak dan terpaksa dibuang menjadi amaran kepada Malaysia supaya memperkukuh ketahanan keselamatan siber dalam sektor peruncitan serta rantaian bekalan makanan.

 

Pakar keselamatan siber, Profesor Adjung Amalan Keselamatan Siber Universiti Sains Komputer dan Kejuruteraan Malaysia (UNIMY), Murugason R Thangaratnam berkata, sistem disambungkan internet seperti pengawal suhu, dan platform pengurusan bangunan jarak jauh berpotensi menjadi sasaran.

 

Menurutnya, kelemahan utama berpunca daripada sistem teknologi operasi (OT) yang dibangunkan bagi memastikan kelancaran operasi dan kemudahan penggunaan, tetapi aspek keselamatannya dilihat sebagai masih lagi kurang diberi perhatian berbanding aspek teknologi maklumat (IT).

 

"Langkah penyepaduan OT dengan IT dilihat berisiko mewujudkan ruang ancaman yang baharu, khususnya apabila sistem penyejukan dan peralatan operasi pasar raya boleh diakses menerusi rangkaian internet dari mana-mana lokasi," kata beliau pada Selasa.

 

Beliau merujuk situasi insiden serangan di Eropah, dengan ratusan pasar raya di Perancis dilaporkan terjejas pada Oktober 2026 selepas penggodam menguasai perisian yang mengawal suhu unit penyejukan, sebelum serangan serupa dilaporkan di beberapa negara Eropah pada awal November 2026.

 

Murugason berkata, penggunaan sistem dan platform pemantauan jarak jauh yang sama oleh pelbagai peruncit turut meningkatkan risiko serangan berskala besar, terutama apabila vendor serta penyedia perkhidmatan pihak ketiga terlibat dalam pengurusan sistem berkenaan.

 

pasar raya_DagangNews2026
Gambar hiasan - Foto DagangNews.com

 

Ujarnya, penggodam tidak semestinya memerlukan perisian canggih kerana kata laluan yang lemah serta peranti terdedah kepada internet sudah memadai membuka laluan pencerobohan. Malah, enjin carian seperti Shodan boleh digunakan untuk mengenal pasti peranti yang terdedah dalam tempoh singkat.

 

"Saya berpandangan, pengendali pasar raya dan rantaian sejuk (cold chain) di Malaysia turut menggunakan sistem bersambung serta perkhidmatan pemantauan jarak jauh yang hampir serupa, sekali gus menyebabkan sektor berkenaan tidak terkecuali daripada ancaman sama," jelasnya.

 

Walaupun usaha Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan agensi berkaitan membangunkan kerangka keselamatan siber negara wajar diakui, beliau berkata Malaysia perlu beralih daripada sekadar memenuhi keperluan pematuhan kepada usaha memperkukuh daya tahan operasi sebenar.

 

Antara langkah penting disarankan ialah mengenal pasti semua peranti yang disambungkan kepada rangkaian, menghapuskan kata laluan lalai, mengelakkan pendedahan peranti kepada internet secara terbuka serta memastikan sistem pemantauan keselamatan berfungsi dengan baik.

 

Murugason turut menegaskan syarikat perlu menyediakan pelan operasi manual sebagai langkah sandaran jika sistem digital digodam, selain menguji pelan secara berkala dan memastikan vendor serta penyedia perkhidmatan bertanggungjawab terhadap keselamatan sepanjang rantaian bekalan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved