amree03/06/2026 - 17:25 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Jun — Malton Berhad melalui anak syarikatnya, Bukit Rimau Development Sdn Bhd membeli tanah pegangan bebas berkeluasan 1.5 hektar di Johor Bahru, Johor berharga RM97.2 juta.
Pengambilalihan ini dimeterai menerusi perjanjian jual beli (SPA) secara bersyarat dengan vendor, Tanjung Nakhoda (M) Sdn Bhd, untuk tanah tersebut yang terletak di Mukim Bandar Johor Bahru itu.
Menurut kumpulan tersebut, tanah berkenaan merupakan sebahagian daripada pembangunan komersial bersepadu W City Larkinton di Larkin dan terletak berhampiran dengan Johor Golf and Country Club.
"Berdasarkan penilaian awal, tanah ini akan dimajukan dengan projek pangsapuri perkhidmatan dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM950 juta," maklum Malton kepada Bursa Malaysia.
Kedudukan tanah ini sangat strategik, hanya enam kilometer dari pusat bandar, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, serta projek Sistem Transit Pantas (RTS).
Harga pembelian kira-kira RM600 setiap kaki persegi dipersetujui secara bersama dan merupakan diskaun 0.08% berbanding nilai pasaran RM97.3 juta oleh firma penilaian bebas, Jones Lang Wootton.
Malton menjelaskan yang langkah terbaharu kumpulan itu adalah penting untuk memastikan kelestarian bahagian pembangunan hartanahnya melalui usaha pengukuhan bank simpanan tanah di lokasi utama.
"Kumpulan ini yakin dengan potensi pembangunan setelah kejayaan projek pangsapuri perkhidmatan sulung, Mutiara Kempas, yang mencapai kadar jualan 70% sejak dilancarkan April lalu," katanya.
Kos pengambilalihan ini akan dibiayai melalui kombinasi dana dalaman syarikat dan pinjaman bank, serta tidak memerlukan kelulusan pemegang saham dan dijangka siap menjelang suku pertama 2027.
Langkah ini dilihat sebagai usaha proaktif Maltin dalam mengambil peluang di Johor Bahru yang sedang menyaksikan peningkatan aktiviti pembangunan hartanah secara pesat. - DagangNews.com






