
Kuala Lumpur – Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) menyatakan kesediaan untuk memberikan sokongan penuh sekiranya Litar Antarabangsa Sepang (SIC) diberi peluang kembali menjadi tuan rumah Formula 1 sebagai pusingan gantian dalam kalendar F1 2026.
Presiden MAM, Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata, penganjuran Formula 1 bukan sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan oleh Sepang dan Malaysia memandangkan pengalaman selama 18 tahun menjadi tuan rumah kejohanan berprestij dunia itu.
“Hosting F1 bukan satu cabaran yang tidak mampu diatasi untuk Sepang International Circuit (SIC) dan Malaysia. Kita pernah melakukannya selama 18 tahun. Sepang dibina untuk menjadi tuan rumah F1,” katanya.
Menurut beliau, infrastruktur litar tersebut masih berada dalam keadaan baik selain Malaysia masih mempunyai tenaga kerja berpengalaman serta sumber diperlukan bagi memastikan perlumbaan bertaraf dunia dapat berlangsung dengan selamat.
“Litar masih berada dalam keadaan baik. Kita masih mempunyai tenaga kerja berpengalaman dan sumber untuk memastikan perlumbaan yang selamat, selain mereka sentiasa terdedah kepada acara bertaraf dunia seperti Petronas Grand Prix of Malaysia (MotoGP),” jelasnya.
Tan Sri Mokhzani turut berpandangan bahawa Formula 1 moden jauh berbeza berbanding edisi terakhir yang berlangsung di Sepang pada 2017, khususnya dari aspek teknologi jentera serta barisan pelumba.
“F1 hari ini sangat berbeza daripada F1 yang terakhir kita lihat di sini pada 2017. Dari segi teknologi, kereta sudah banyak berubah. Hanya 10 pelumba daripada barisan 2017 masih berlumba pada 2026, bermakna lebih separuh daripada pelumba semasa tidak pernah memandu di litar kita,” katanya.
Beliau turut menegaskan kesediaan untuk membantu usaha membawa kembali jentera Formula 1 beraksi di Sepang sekiranya peluang tersebut diberikan.
“Jika diberi peluang untuk melihat kereta F1 kembali berlumba di Sepang, saya akan berusaha ke arah memastikan perkara itu berlaku,” katanya.
Sebelum ini, perkongsian tentang MAM ini dsripada sumber rakan media, Tarmac Sports, namun perkara tersebut kemudiannya mendapat pengesahan lanjut apabila MAM menerbitkan hantaran terbaharu menerusi platform rasmi mereka yang menyatakan kesediaan untuk memberikan komitmen serta sokongan penuh sekiranya peluang itu direalisasikan.
The post MAM Sedia Beri Komitmen Penuh Jika Sepang Kembali Ke Kalender F1 2026 appeared first on TW Media.






