Mampukah BN-PN bertahan hingga PRU16?

LocalPolitics
6 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Mampukah BN-PN bertahan hingga PRU16?

PILIHAN Raya Negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan telah melabuhkan tirainya. Antara perkembangan yang paling mendapat perhatian ialah persefahaman antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), sekali gus membuka lembaran baharu dalam perbincangan mengenai masa depan politik gabungan di Malaysia.

Masih terlalu awal untuk pastikan sama ada persefahaman ini akan berkembang menjadi satu jajaran politik baharu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). Namun, perkembangan tersebut memperlihatkan landskap politik negara terus berubah, menuntut parti-parti politik menilai semula strategi dan pendekatan masing-masing.

Benarlah kata orang tua-tua, “sekali air bah, sekali pasir berubah.”

Bagi sebahagian pemerhati, perkembangan ini mengingatkan kembali kepada Muafakat Nasional (MN) yang pernah mencetuskan harapan besar, namun akhirnya tidak dapat dipertahankan apabila landskap politik berubah.

Hakikatnya, perubahan merupakan lumrah dalam demokrasi. Dalam sistem yang terbuka, parti-parti politik sentiasa menyesuaikan pendekatan mengikut kehendak rakyat, keseimbangan kuasa dan cabaran semasa.

Justeru, perubahan strategi bukanlah sesuatu yang luar biasa, sebaliknya sebahagian daripada proses evolusi politik yang berlaku dalam hampir semua negara demokrasi.

 

SEJARAH SEBAGAI PEDOMAN POLITIK

Sejarah membuktikan kerjasama antara UMNO dan Pas bukanlah sesuatu yang baharu. Pada 1973, Tun Abdul Razak Hussein memperkenalkan BN sebagai satu gagasan politik yang lebih inklusif berbanding Parti Perikatan.

Setahun kemudian, Pas menyertai BN dalam usaha memperkukuh kestabilan politik dan mempererat perpaduan negara pasca peristiwa 13 Mei 1969.

Pendekatan tersebut lahir daripada kesedaran sebuah negara majmuk memerlukan kerjasama politik yang lebih luas bagi menjamin keamanan dan pembangunan.

Kerjasama itu membawa kemenangan besar dalam PRU 1974, namun berakhir pada 1977 susulan krisis politik di Kelantan.

Episod tersebut meninggalkan satu pengajaran yang kekal relevan hingga kini, iaitu membentuk gabungan mungkin mudah tetapi mengekalkan persefahaman jauh lebih sukar.

Sejarah politik Malaysia memperlihatkan perubahan jajaran bukanlah sesuatu yang luar biasa, sebaliknya sebahagian daripada evolusi demokrasi.

Hakikatnya, dalam dunia politik, tiada kawan yang kekal dan tiada seteru yang abadi. Seteru boleh menjadi rakan, manakala rakan juga boleh kembali menjadi seteru apabila landskap, keutamaan dan kepentingan semasa berubah.

Justeru, kejayaan sesebuah gabungan bukan diukur pada hari ia dimeterai tetapi pada keupayaannya memelihara kepercayaan rakyat, mengurus perbezaan dan mempertahankan persefahaman sepanjang tempoh kerjasama.

 

PERSEFAHAMAN BAHARU, CABARAN BAHARU

Dalam konteks semasa, Johor dan Negeri Sembilan boleh dianggap sebagai medan awal untuk menguji keberkesanan persefahaman tersebut menjelang PRU16. Kerjasama ini bukan sekadar bertujuan mengelakkan pertandingan pelbagai penjuru, malah menjadi ukuran sejauh mana dapat diterima oleh penyokong di peringkat akar umbi.

Sekiranya pendekatan ini menunjukkan hasil yang positif, tidak mustahil perhatian akan beralih kepada Melaka, Perak dan Selangor. Walau bagaimanapun, setiap negeri mempunyai komposisi pengundi, budaya politik dan isu tempatan yang berbeza. Oleh itu, formula yang berjaya di sebuah negeri tidak semestinya menghasilkan keputusan yang sama di negeri lain.

Dari sudut akademik, perkembangan ini selari dengan pandangan ahli sains politik William H. Riker, yang menjelaskan parti-parti lazimnya membentuk gabungan bagi memperoleh majoriti yang mencukupi untuk mentadbir.

Namun, pembentukan gabungan hanyalah langkah pertama. Ahli sains politik, Arend Lijphart pula menegaskan masyarakat majmuk memerlukan budaya rundingan, perkongsian kuasa dan kompromi yang berterusan bagi menjamin kestabilan politik.

Ertinya, kemenangan boleh membuka jalan kepada pembentukan kerajaan tetapi hanya kepercayaan, kesepakatan dan kemampuan mengurus perbezaan mampu memastikan sesebuah gabungan terus bertahan.

 

Image from: Mampukah BN-PN bertahan hingga PRU16?

 

PENGALAMAN, STRATEGI DAN AMANAH RAKYAT

Pengalaman politik Malaysia turut menunjukkan sesebuah gabungan memerlukan lebih daripada persetujuan di peringkat kepimpinan. Penyertaan Pas dalam BN berakhir pada 1977, manakala MN pula berdepan pelbagai cabaran berkaitan pembahagian kerusi, strategi pilihan raya dan perubahan landskap politik.

Pengalaman tersebut membuktikan keserasian di peringkat akar umbi, disiplin organisasi dan kejelasan hala tuju bersama merupakan faktor yang menentukan ketahanan sesebuah gabungan.

Dalam masa sama, pengalaman UMNO sebagai sebuah parti yang ditubuhkan pada 1946 memperlihatkan keupayaannya menyesuaikan strategi mengikut perubahan zaman. Namun, dalam demokrasi moden, pengalaman sahaja tidak mencukupi.

Rakyat akhirnya akan menilai berdasarkan keupayaan mana-mana gabungan menawarkan kestabilan politik, tadbir urus yang berintegriti, pertumbuhan ekonomi yang mampan serta penyelesaian terhadap isu-isu yang menyentuh kehidupan seharian mereka.

Adat berpolitik, yang menang tidak wajar terlalu mendabik dada, manakala yang kalah pula tidak boleh dianggap telah ditolak selama-lamanya oleh rakyat.

Dalam demokrasi yang matang, kemenangan dan kekalahan hanyalah cerminan keputusan pada sesuatu ketika. Mandat rakyat boleh berubah mengikut prestasi, dasar dan kualiti kepimpinan.

Ironinya, kemenangan bukanlah sesuatu yang mutlak, apatah lagi hak milik yang kekal, manakala kekalahan pula bukan penamat kepada perjuangan politik.

POLITIK BERUBAH, RAKYAT MENENTUKAN

Masih terlalu awal untuk meramalkan bentuk jajaran politik yang akan muncul menjelang PRU16. Namun, sejarah sentiasa mengingatkan kestabilan tidak lahir daripada gabungan semata-mata, sebaliknya daripada keupayaan membina kepercayaan, mengurus perbezaan dan mendahulukan kepentingan negara mengatasi pertimbangan politik jangka pendek. Dalam semangat itulah peribahasa Melayu ‘bersatu teguh, bercerai roboh’ wajar difahami sebagai prinsip kenegaraan, bukan sekadar slogan politik.

Pada akhirnya, apa jua bentuk kerjasama yang bakal terbentuk, kejayaan sebenar bukan diukur pada keupayaan membentuk gabungan tetapi pada kemampuan membina sebuah Malaysia yang lebih stabil, makmur dan diyakini rakyat.

Politik sentiasa berubah, gabungan datang dan pergi, namun satu hakikat tetap kekal dalam sebuah demokrasi ialah rakyat ialah pemegang amanah terakhir terhadap masa depan negara.

Sejarah memberikan pedoman tetapi masa depan tetap ditentukan oleh kebijaksanaan rakyat dalam membuat pilihan. –UTUSAN

PENULIS ialah Ketua Pusat Kajian Warisan dan Sejarah Perak, Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) , Ipoh.

The post Mampukah BN-PN bertahan hingga PRU16? appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved