Anekdot Mawarith21/10/2026 - 07:00 Oleh ARIFFIN SABIRIN editor@dagangnews.com Minggu lepas saya menerangkan tentang fungsi sebenar wasiat, minggu ini saya akan menyentuh pula tentang hibah tetapi dalam konteks yang sama iaitu dari perspektif bakal jemaah haji.
Sebagai ulang kaji, minggu lepas saya sudah menerangkan keterbatasan wasiat dari segi pengagihan harta kepada waris mengikut hukum faraid seperti suami, isteri dan anak-anak.
Saya juga telah berkongsi keterbatasan wasiat dalam pelantikan wasi di Pejabat Pusaka Kecil. Saya harap para pembaca sudah memahaminya.
ARTIKEL MINGGU LEPAS:Nak pergi haji perlukah buat wasiat? Fahami dulu apa fungsi sebenar wasiat
Apa sebenarnya yang masyarakat mahukan apabila bercakap tentang harta?
Jika wasiat mempunyai kekangan dari segi pengagihan kepada waris, hibah pula menawarkan fleksibiliti pengagihan yang lebih luas.
Melalui hibah, kita boleh memberikan harta kepada sesiapa sahaja mengikut formula yang kita kehendaki. Kita boleh menghibahkan harta kepada waris, bukan waris, persatuan malah kepada sesiapa sahaja.
Pengalaman saya selama 28 tahun menunjukkan bahawa apabila masyarakat bercakap tentang kegusaran mereka mengenai harta, fokus utama mereka ialah bagaimana harta dapat diagihkan secara berkesan kepada pihak yang mereka kehendaki.
Setiap keluarga mempunyai keperluan berbeza
Ini kerana setiap daripada kita mempunyai maslahah dan kepentingan yang berbeza.
Ada yang mahu memberikan lebih banyak harta kepada anak tertentu kerana anak itu merupakan anak istimewa, kurang bernasib baik berbanding adik-beradiknya, telah bertungkus-lumus berbakti kepada ibu bapa atau lebih dipercayai untuk menguruskan harta.
Setiap orang mempunyai keadaan yang berbeza. Atas sebab itu, mereka mahukan fleksibiliti untuk mengagihkan harta mengikut keutamaan masing-masing.
Wasiat tidak semestinya dapat membantu mencapai maksud ini kerana wasiat yang memperuntukkan harta kepada waris tertakluk kepada persetujuan waris-waris lain selepas kematian pewasiat.
Sekiranya terdapat waris yang tidak bersetuju, peruntukan wasiat kepada waris tersebut tidak dapat dilaksanakan sebagaimana yang dihasratkan.
Wasiat yang memperuntukkan harta kepada bukan waris pula tertakluk kepada had satu pertiga daripada harta pusaka.
Keberkesanan hibah dalam pengagihan harta
Hibah ialah instrumen yang paling berkesan bagi mencapai matlamat pengagihan harta mengikut kehendak pemiliknya.
Sekiranya terdapat pihak yang tidak bersetuju dengan hibah tersebut, ketidaksetujuan mereka perlu dihujahkan di Mahkamah Tinggi Syariah.
Berbeza dengan wasiat yang memperuntukkan harta kepada waris, hibah yang dicabar memerlukan pihak yang mempertikaikannya mengemukakan alasan mengapa hibah tersebut tidak sah.
Antara faktor yang boleh dihujahkan ialah rukun dan syarat hibah tidak dipenuhi atau terdapat kandungan dokumen hibah yang bercanggah dengan hukum syarak.
Sekiranya semua peruntukan hukum syarak dan undang-undang syariah telah dipenuhi dalam pelaksanaan hibah, maka walaupun dicabar, hibah tersebut boleh disahkan dan penerima hibah berhak menerima harta yang dihibahkan.
Wasiyyah membantu masyarakat menghibahkan pelbagai jenis harta termasuk hartanah yang masih bercagar dengan institusi kewangan, hartanah yang bebas daripada cagaran, saham koperasi, barang kemas, akaun pelaburan saham amanah (unit trust), akaun emas, akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) Bursa Malaysia, akaun pelaburan hartanah, saham syarikat sendirian berhad, akaun bersama di bank, akaun mandat persendirian (private mandate) dan kenderaan.
Hibah yang telah sempurna rukun dan syaratnya akan terkeluar daripada harta pusaka dan tidak diagihkan kepada waris mengikut hukum faraid.
Mana lebih penting kepada jemaah haji?
Perbincangan ini membawa kita kepada persoalan yang lebih menarik. Mana satu yang lebih penting untuk disediakan oleh bakal jemaah haji, hibah atau wasiat?
Secara jujurnya, saya akan katakan bahawa kedua-duanya sama penting mengikut fungsi masing-masing.
Andalah yang perlu membuat keputusan secara tepat tentang instrumen yang benar-benar diperlukan.
Jika kes harta pusaka anda bakal dibicarakan di Mahkamah Tinggi Sivil kerana keseluruhan nilainya melebihi RM5 juta, maka penyediaan wasiat yang melantik wasi adalah kritikal.
Ini kerana pelantikan wasi melalui wasiat dapat memudahkan urusan mendapatkan geran probet, sekali gus membantu mempercepatkan pentadbiran harta pusaka sehingga ke peringkat pengagihan kepada waris yang berhak.
Jika anda berhasrat mewasiatkan sehingga satu pertiga daripada harta pusaka kepada bukan waris bagi tujuan amal jariah seperti anak angkat, anak tiri, masjid, surau, persatuan atau pihak lain yang bukan waris, maka wasiat ialah instrumen yang sesuai untuk mencapai maksud tersebut.
Jika anda mahukan harta diagihkan kepada sesiapa sahaja, sama ada waris atau bukan waris, mengikut kadar yang anda sendiri tetapkan, maka hibah ialah penyelesaiannya.
Anda mungkin tergolong dalam kategori pertama, kedua atau ketiga. Malah, anda juga mungkin mempunyai keperluan yang merangkumi ketiga-tiga kategori tersebut.
Dalam keadaan sedemikian, kedua-dua instrumen wasiat dan hibah mungkin sama penting untuk disediakan.
Rancang harta sebelum menunaikan haji
Apa yang lebih penting ialah rancanglah harta anda sebelum menunaikan ibadah haji.
Apabila anda mahu menunaikan haji, sudah tentu anda mahu memastikan waris dan harta yang ditinggalkan berada dalam keadaan terjaga.
Barulah hati lebih tenang dan anda dapat memberikan sepenuh tumpuan kepada ibadah haji.
Kita menerima hakikat bahawa dalam mujahadah sebagai tetamu Allah, kita sentiasa terdedah kepada pelbagai risiko, lebih-lebih lagi dalam keadaan serba tidak menentu akibat konflik di Timur Tengah.
Perancangan harta melalui wasiat, hibah atau kedua-duanya dapat membantu mengurangkan risiko yang berkaitan dengan pengurusan dan pengagihan harta sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini.
Wasiyyah boleh membantu
Kedua-dua dokumen wasiat dan hibah boleh disediakan melalui Wasiyyah sama ada secara fizikal mahupun digital.
Bagi penyediaan hibah, Wasiyyah menawarkan perkhidmatan melalui Usra Hibah Digital Document (UsraHDD), yang diperkenalkan sebagai akad hibah tanpa kertas pertama di dunia.
Melalui aplikasi ini, dokumen hibah boleh disediakan sepantas satu minit dan akad hibah boleh disempurnakan dalam tempoh sehari.
Dokumen hibah yang telah disempurnakan akan disimpan dalam sistem awan dan boleh diakses pada bila-bila masa oleh pemberi serta penerima hibah.
Hibah yang dijana melalui aplikasi ini telah menerima perintah pengesahan hibah daripada Mahkamah Tinggi Syariah Johor dan Wilayah Persekutuan.
Menurut rekod Wasiyyah, lebih 50,000 dokumen hibah telah dijana melalui aplikasi tersebut dan lebih 15,000 orang telah menggunakannya.
Dengan caj serendah RM499, perkhidmatan UsraHDD ditawarkan sebagai salah satu pilihan kepada masyarakat yang mahu menyediakan dokumen hibah.
Rekod prestasi Wasiyyah
Banyak pihak di Malaysia hari ini menawarkan perkhidmatan penyediaan wasiat dan hibah kepada masyarakat.
Antaranya termasuk syarikat sendirian berhad, individu, perniagaan milikan tunggal, firma guaman dan syarikat amanah.
Namun, faktor penting yang perlu dipertimbangkan ialah sama ada pihak yang menyediakan perkhidmatan tersebut mempunyai rekod prestasi yang terbukti.
Lebih penting, adakah mereka akan terus beroperasi dalam tempoh lima, 10, 15, 30 atau 50 tahun akan datang untuk membantu waris kita melalui semua proses perundangan yang berkaitan?
Dalam industri perancangan harta secara syariah, Wasiyyah telah beroperasi sejak 2004.
Dengan nilai harta pusaka melebihi RM1 bilion yang telah diturun milik kepada waris melalui 800 kes harta pusaka yang diselesaikan, Wasiyyah mempunyai rekod prestasi yang terbukti.
Sehingga kini, lebih 100,000 orang Islam telah menggunakan perkhidmatan kami.
Sebagai syarikat amanah berdaftar, aspek kelangsungan operasi Wasiyyah turut berkait dengan peruntukan Seksyen 33 Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100), yang menetapkan keperluan kebenaran mahkamah bagi penamatan operasi syarikat amanah dalam keadaan yang diperuntukkan undang-undang.
Saya sendiri pernah bertemu dengan sebuah syarikat amanah di Australia, negara yang berkongsi tradisi undang-undang common law dengan Malaysia, yang telah beroperasi selama 150 tahun!
Jadi, selain membuat pilihan sama ada mahu menyediakan wasiat atau hibah, satu lagi persoalan penting yang perlu difikirkan oleh bakal jemaah haji ialah dengan siapa mereka mahu menyediakan dokumen tersebut. - DagangNews.com






