
KATHMANDU – Pasukan penyelamat di Nepal dan China masih bertungkus-lumus hari ini untuk mengesan beribu-ribu orang hilang, beberapa hari selepas gelombang air, serpihan dan lumpur yang membentuk tsunami menghempas rantau Himalaya, dengan menenggelamkan kampung-kampung.
Jumlah orang hilang meningkat melepasi 2,400 semalam ketika pasukan kecemasan berkata, mereka telah menemukan 586 mayat, dengan sebilangan mangsa terkorban dihanyutkan ke hilir sehingga ke India.
Di kawasan menempatkan projek infrastruktur tenaga yang luas, pihak berkuasa bencana Nepal menambah 933 pekerja kuasa hidro ke dalam senarai orang hilang sedia ada, termasuk pengembara dan penziarah ke Gunung Kailash di Tibet.
Mangsa yang berjaya menyelamatkan diri pula berkata, mereka kehilangan segala-galanya dan menunggu penuh kesengsaraan untuk mengetahui nasib orang tersayang yang hilang, serta prospek membina semula kehidupan selepas tinggal sehelai sepinggang.
“Semua petempatan berhampiran sungai dihanyutkan. Tiada apa-apa yang tinggal,” kata mangsa terselamat, Buddhi Ram Dangol, kepada AFP.
Trauma bencana Rabu lepas itu ‘sangat dahsyat’ dengan seramai 93,000 orang dipercayai terjejas, kata Pertubuhan Palang Merah, manakala angka kematian dijangka terus meningkat. – AFP
The post Mangsa hilang meningkat lebih 2,400, 586 mayat ditemukan appeared first on Kosmo Digital.




