
KUALA LUMPUR — “Kenapa dia belum datang jumpa saya?”
Itulah persoalan yang masih ditanyakan Norhayati Razali, 55, seorang daripada mangsa yang kini terlantar di hospital selepas terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Sultan Ismail, di sini.
Namun yang lebih memilukan, Norhayati masih belum menyedari bahawa lelaki yang dinantikannya itu bersama dua anak perempuan mereka terkorban dalam nahas berkenaan.
Suaminya, Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, serta dua anak mereka, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12, maut dalam kemalangan kira-kira jam 1 pagi Rabu lalu.
Empat sekeluarga itu sedang berjalan di persimpangan berhampiran lampu isyarat Maju Junction apabila dirempuh sebuah lori Jabatan Imigresen.
Norhayati turut menjadi mangsa dan terselamat, namun mengalami kecederaan pada kepala, tangan serta kedua-dua kaki.
Beliau kini masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
Menurut seorang rakan, wanita terbabit dipercayai tidak dapat mengingati sepenuhnya apa yang telah berlaku.
Lebih menyayat hati, Norhayati masih tidak dapat mengingati bahawa ketiga-tiga insan kesayangannya telah meninggal dunia walaupun ditunjukkan gambar suami dan kedua-dua anaknya.
Sebaliknya, dia terus menunggu dan bertanya tentang lelaki berkenaan.
“Dia tanya kenapa suami dia belum datang jumpa dia,” kata rakan keluarga itu dalam satu video yang dikongsikan di Facebook dalam keadaan sebak.
Video berkenaan kemudiannya dikongsi semula oleh ibu kepada rakan tersebut.
Tragedi terbabit meragut nyawa tiga insan disayangi Norhayati dalam sekelip mata, dan ketika ini, dia masih belum mengetahui hakikat itu.
Sementara Norhayati berjuang untuk pulih di katil hospital, keluarga dan rakan-rakannya pula terpaksa berdepan satu kenyataan yang amat menyakitkan: lelaki yang sedang dinantinya itu tidak mungkin akan kembali, begitu juga dua anak perempuan yang mungkin masih dicarinya.
Dalam perkembangan berkaitan, pemandu lori Jabatan Imigresen berkenaan, Mohd Akbar Zainol, telah didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Khamis susulan kemalangan tersebut.
Dia berdepan lima pertuduhan, termasuk tiga pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana didakwa menyebabkan kematian Shaik Mohd Firdaus, Siti Nor Sazlin dan Siti Darwisyah Auni.
Mohd Akbar turut didakwa mengikut Seksyen 43(1) akta sama kerana didakwa memandu secara tidak cermat dan perhatian sewajarnya sehingga menyebabkan kecederaan kepada Norhayati.
Dia mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM60,000.
Buat masa ini, Norhayati masih menunggu. Dia masih bertanya dan masih berharap suaminya akan muncul di sisi, tanpa mengetahui individu dinanti telah pergi buat selamanya. - Getaran, 22 Ogos 2026

![[VIDEO] Nahas lori imigresen: Isteri masih tercari-cari suami](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/maut-blackmaria-1024x759.jpeg)




