Mansuh AUKU: Tak perlu gentar mahasiswa berani bersuara

LocalPolitics
15 Aug 2026 • 5:43 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Mahasiswa bersuara

SHAH ALAM: Kerajaan tidak perlu gentar dengan mahasiswa yang berani bersuara, namun lebih membimbangkan jika golongan itu memilih untuk berdiam diri.

Ini kerana, tindakan mahasiswa bersuara, mengkritik dan menyampaikan perbezaan pandangan tidak seharusnya dianggap sebagai ancaman kerana universiti mesti menjadi medan ilmu, perbahasan dan pemikiran kritikal.

Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sivamalar Genapathy berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 merupakan suatu langkah besar.

Katanya, pemansuhan tersebut dilihat mampu menggerakkan pendidikan tinggi kepada kerangka yang lebih terbuka, progresif dan sesuai dengan tuntutan semasa.

“Kita tidak perlu takut kepada mahasiswa yang berani bersuara. Kita sepatutnya lebih bimbang apabila mahasiswa memilih untuk berdiam diri.

“Pemansuhan AUKU kelak perlu disusuli dengan kerangka perundangan baharu yang menjamin kebebasan akademik, autonomi universiti, hak mahasiswa serta kebertanggungjawaban institusi,” katanya kepada dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya, pemansuhan AUKU bukanlah hadiah kepada mahasiswa sebaliknya mengiktiraf hak mereka untuk berfikir, bersuara, berorganisasi dan mengambil bahagian dalam menentukan masa depan negara.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Anwar ketika berucap dalam Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka mengumumkan kerajaan akan memansuhkan AUKU bagi memberikan kebebasan lebih luas kepada mahasiswa.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat susulan masih terdapat pihak yang tidak berpuas hati meskipun beberapa pindaan terhadap akta berkenaan sudah dilakukan.

Sivamalar memaklumkan, agenda pemansuhan AUKU bukan isu baharu, sebaliknya sebahagian daripada reformasi yang perlu dilakukan selepas desakan sekian lama untuk mengembalikan kebebasan mahasiswa dan memperkukuh autonomi universiti.

“Ketika PH mengambil alih pentadbiran pada 2018, langkah penting telah diambil dengan memansuhkan Seksyen 15(2)(c) yang menyekat penglibatan mahasiswa dalam aktiviti politik di kampus.

“Masih banyak agenda Reformasi yang perlu disempurnakan. Pengumuman hari ini adalah satu lagi langkah penting ke arah menunaikan agenda tersebut,” ujarnya. – UTUSAN

The post Mansuh AUKU: Tak perlu gentar mahasiswa berani bersuara appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved