
Jika dihitung secara logik mudah, pelumba yang sedang memimpin Moto2 sepatutnya menjadi antara nama pertama yang dipanggil untuk naik ke MotoGP, tetapi dunia perlumbaan tidak semudah itu.
Ketika ini, Manuel Gonzalez sedang menikmati musim yang cukup hebat. Pelumba Sepanyol itu berada di hadapan kejuaraan Moto2 dengan empat kemenangan dan lapan podium, sekali gus meletakkan dirinya dalam radar beberapa pasukan untuk musim 2027.
Namun peliknya, semakin hampir musim 2027, laluan Gonzalez ke MotoGP semakin berliku.
Sebelum ini nama beliau dikaitkan dengan Trackhouse dan turut muncul dalam senarai calon untuk kerusi Tech3 KTM. Senna Agius juga berada dalam persaingan yang sama dan keadaan itu menjadikan pasaran pelumba semakin menarik.
Masalahnya, KTM dikatakan lebih berminat kepada Agius. Bukan kerana Gonzalez tidak cukup pantas, tetapi faktor lain mula memainkan peranan. Agius merupakan pelumba Australia dan KTM sememangnya mempunyai hubungan yang kuat dengan pasaran Australia melalui Jack Miller sebelum ini.
Dalam masa sama, perkembangan terbaru mengenai Tech3 turut tidak banyak membantu Gonzalez. Luca Marini semakin hampir dikaitkan dengan pasukan itu, manakala Agius pula dilihat sebagai calon kuat untuk satu lagi tempat.
Jika situasi itu menjadi kenyataan, Gonzalez mungkin terpaksa mencari jalan lain. Namun menariknya, Intact GP sendiri belum mahu melepaskan pelumbanya begitu sahaja.
Jurgen Lingg mengakui beliau mendengar segala khabar angin mengenai masa depan Gonzalez dan Agius. Jika hanya seorang mendapat peluang MotoGP, seorang lagi mungkin perlu kekal di Moto2.
Bagi Agius, situasinya agak jelas. Jika gagal naik ke MotoGP, dia dijangka meneruskan bersama Intact GP. Gonzalez pula mempunyai satu lagi pilihan iaitu WorldSBK.
Tetapi di sinilah pendirian Intact GP menjadi menarik. Lingg tidak mahu Gonzalez berpindah ke WorldSBK sekadar untuk berpindah kategori. Jika mahu meninggalkan Moto2, dia mesti mendapat pasukan yang benar-benar kompetitif.
“Dia perlukan tempat yang benar-benar bagus dalam kejohanan WorldSBK. Jika tidak, dia akan terus bersama kami,” jelas Lingg.
Maksud beliau cukup mudah. Intact GP masih melihat Gonzalez sebagai aset penting. Mereka sanggup mengekalkan pelumba Sepanyol itu untuk satu musim lagi jika tawaran WorldSBK yang datang tidak cukup meyakinkan.
Sebenarnya, Gonzalez juga tidak berada dalam keadaan terdesak. Beliau sedang memimpin carta Moto2. Jika mampu menamatkan musim sebagai juara, nilainya dalam pasaran pelumba akan menjadi lebih tinggi.
Di sinilah pilihan 2027 menjadi menarik. MotoGP memang destinasi yang diimpikan semua pelumba. Tetapi adakah masuk ke MotoGP melalui pasukan yang kurang kompetitif lebih baik daripada kekal setahun lagi di Moto2 dengan jentera yang mampu membawanya merebut gelaran?
Johann Zarco pernah membuktikan bahawa menunggu bukan semestinya satu kesilapan. Selepas dua kejuaraan Moto2, pelumba Perancis itu akhirnya mendapat peluang ke MotoGP dan membina kariernya dari situ.
Gonzalez mungkin berdepan situasi yang sama. Ternyata buat masa ini, peluang MotoGP masih ada. Tetapi pintunya semakin kecil. WorldSBK pula terbuka, tetapi hanya jika datang bersama projek yang tepat.
Jika kedua-duanya tidak cukup menarik, pilihan paling logik mungkin ialah kekal di Moto2. Ironinya, seorang pelumba yang sedang mendahului kejuaraan dunia kini perlu membuat keputusan paling sukar dalam kariernya samada naik sekarang ke MotoGP, tunggu sedikit masa lagi di Moto2 atau pilih laluan yang berbeza di WorldSBK.
Teruskan bersama Two Wheels..!
The post Manuel Gonzalez: Bakal Juara Moto2, Tetapi Tiada Tempat Di MotoGP? appeared first on TW Media.






