KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak pernah mempertimbangkan untuk menjadikan Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebagai teras kepada penubuhan sesuatu kementerian.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, MARA akan terus kekal sebagai agensi utama di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
"Tidak pernah ada niat ke arah itu walaupun ada cadangannya. Lagipun MARA wujud di semua peringkat sebenarnya.
"Mewujudkan sebagai sebuah kementerian adalah mustahil kerana kementerian itu meliputi pelbagai aspek," katanya kepada pemberita ketika hadir pada Perhimpunan Kami Gen Mara di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Sebelum ini, Provos dan Dekan Institut Pe-ngajian Siswazah, Universiti Sa-ins dan Teknologi Malaysia, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, langkah kerajaan memperkukuh peranan MARA sebagai 'payung besar' dan pusat sehenti pembangunan ekonomi Bumiputera boleh direalisasikan melalui kewujudan Kementerian Pembangunan Bumiputera se-lepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Katanya, perkara itu boleh direalisasikan susulan isyarat diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kekuatan agensi Bumiputera.
Beliau berkata, MARA boleh dinaik taraf sebagai teras kementerian dan dengan adanya pengkhususan itu, ia memberi kejelasan akauntabiliti politik dan kesinambungan dasar merentas kerajaan.
Sementara itu, ditanya mengenai pemerkasaan agenda dengan memastikan MARA hanya untuk bumiputera, Ahmad Zahid memberitahu, perlembagaan menjelaskan bahawa kedudukan hak istimewa orang Melayu itu dimaktubkan dengan jelas.
"Ini bukan hanya perkara yang terdapat di dalam perlembagaan tetapi kontrak sosial yang telah dipersetujukan oleh konvensyen daripada pemimpin-pemimpin pelbagai kaum dan agama ketika itu," ulasnya.





