Marc Marquez Pilih Nombor 1, Elak Kontroversi

20 Sep 2025 • 11:55 AM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

image is not available

Perdebatan mengenai jumlah sebenar gelaran dunia Marc Marquez kembali hangat selepas Liberty Media dan Dorna menegaskan hanya kejuaraan MotoGP akan diiktiraf secara rasmi, manakala kejayaan di Moto2 dan Moto3 akan dianggap sekadar siri pembangunan atau ‘feeder championship’, seumpama Formula 2 dan Formula 3 dalam hierarki Formula 1.

Implikasi keputusan ini cukup besar. Sejarah yang selama ini meletakkan pelumba seperti Marc dengan lapan gelaran dunia, iaitu enam di MotoGP, satu di Moto2 dan satu di 125cc, kini berisiko dirombak, hanya diiktiraf sebagai satu gelaran dunia iaitu di kelas premier. Bagi peminat, ini dilihat seperti “penghapusan sejarah”, tetapi dari sudut branding, Liberty mahu memastikan hanya kelas tertinggi dipandang sebagai puncak pencapaian, lebih mudah dijual sebagai produk hiburan global.

Di tengah kontroversi ini, laporan media Sepanyol El Periodico memetik sumber bahawa Marquez sendiri memilih untuk tidak menambah bara perdebatan. Sebaliknya, beliau akan meraikan kejayaannya dengan simbol nombor 1, menegaskan bahawa fokus utamanya adalah status juara semasa di MotoGP, bukan lagi kiraan rekod lampau.

Langkah Marquez ini dianggap bijak dengan mengekalkan fokus terhadap prestasi di atas litar, sambil mengelakkan dirinya terperangkap dalam polemik yang boleh merosakkan konsentrasi. Namun persoalan lebih besar tetap terbuka, adakah keputusan Liberty ini benar-benar adil kepada sejarah dan legasi sukan, atau sekadar strategi komersial untuk menjadikan MotoGP lebih ringkas, relevan dan menarik kepada penonton baharu?

Apa yang pasti, Marquez sekali lagi menunjukkan kematangan, apabila dunia berdebat tentang nombor, dia memilih untuk menjawab dengan aksi di litar.