MARC naik taraf sukuk SAJ Capital kepada AAIS disokong prestasi kukuh Ranhill SAJ

Business & Finance
5 Aug 2026 • 3:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MARC naik taraf sukuk SAJ Capital kepada AAIS disokong prestasi kukuh Ranhill SAJ Image from: MARC naik taraf sukuk SAJ Capital kepada AAIS disokong prestasi kukuh Ranhill SAJ hamden05/08/2026 - 15:20 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Ogos - MARC Ratings menaik taraf penarafan Program Sukuk Murabahah SAJ Capital Sdn. Bhd. bernilai sehingga RM650 juta kepada AAIS daripada AA-IS dengan prospek stabil, didorong pengukuhan ketara profil kredit Ranhill SAJ yang menjadi penyokong utama obligasi kewangan syarikat itu.

 

SAJ Capital merupakan syarikat pembiayaan milik penuh Ranhill Capital Sdn. Bhd. yang memiliki pegangan sebanyak 80% dalam Ranhill SAJ, satu-satunya penyedia perkhidmatan bekalan air dari sumber hingga ke pengguna di Johor.

 

MARC berkata, memandangkan SAJ Capital bergantung kepada pembayaran dividen daripada Ranhill SAJ untuk memenuhi obligasi sukuknya, penarafan syarikat itu adalah berdasarkan kekuatan kredit syarikat induknya.

 

Menurut agensi penarafan itu, kenaikan penarafan mencerminkan peningkatan berterusan dalam prestasi operasi, penjanaan aliran tunai serta fleksibiliti kewangan Ranhill SAJ.

 

"Pengukuhan ini didorong oleh peningkatan permintaan air serta pelarasan tarif yang dilaksanakan pada 2024 dan 2025, yang telah meningkatkan pendapatan, kecairan dan keupayaan pembayaran hutang syarikat," katanya dalam satu kenyataan.

 

MARC turut menjangkakan ekonomi Johor yang terus berkembang, aktiviti perindustrian yang semakin pesat serta peningkatan pelaburan pusat data akan terus menyokong pertumbuhan permintaan air dan penjanaan aliran tunai yang mampan dalam jangka panjang.

 

Berdasarkan prestasi kewangan Ranhill SAJ bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026 (FY26), MARC mengunjurkan hasil keseluruhan tahun mencecah kira-kira RM1.9 bilion, iaitu peningkatan lebih 30% berbanding paras sejarah.

 

Pada masa sama, aliran tunai operasi dijangka meningkat kepada sekitar RM800 juta, disokong oleh margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang kekal kukuh antara 41% hingga 54% sepanjang lima tahun lalu.

 

Menurut MARC, peningkatan pendapatan dan aliran tunai operasi itu telah mengukuhkan kedudukan kecairan, modal serta fleksibiliti kewangan Ranhill SAJ, sekali gus membolehkan syarikat mengekalkan pengagihan dividen yang mampan kepada SAJ Capital.

 

Agensi itu menjangkakan aliran dividen akan terus mencukupi bagi menyokong obligasi sukuk SAJ Capital, dengan nisbah perlindungan perkhidmatan kewangan (FSCR) diunjurkan mencatat purata sekitar 2.0 kali bagi tempoh FY27 hingga FY30, jauh mengatasi keperluan kovenan sukuk sebanyak 1.5 kali.

Sehingga akhir Jun 2026, baki sukuk tertunggak di bawah program berkenaan berjumlah RM300 juta.

 - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved