hamden05/08/2026 - 11:42 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Ogos - RHB Research menaik taraf saranan terhadap MBM Resources Bhd. (MBMR) kepada 'Beli' daripada 'Neutral' selepas melihat kelemahan harga saham syarikat sebagai peluang untuk pelabur mengumpul pegangan, selain menjangkakan separuh kedua tahun kewangan 2026 (2H26) menjadi tempoh pemulihan yang lebih kukuh.
Firma penyelidikan itu turut menaikkan harga sasaran (TP) MBMR kepada RM5.70 daripada RM5.50, menawarkan potensi kenaikan sebanyak 18% serta unjuran hasil dividen sekitar 11%.
Menurut RHB Research, prestasi suku pertama 2026 dijangka menjadi tempoh paling mencabar bagi MBMR tahun ini berikutan cuti Aidilfitri, Tahun Baharu Cina serta dua program penyelenggaraan loji yang menjejaskan pengeluaran.
Bagaimanapun, pihaknya menjangkakan prestasi syarikat akan kembali pulih dengan ketara pada 2H26, didorong tempahan tertunggak (backlog) yang kekal stabil pada 43,000 unit.
"Sepanjang tiga tahun lalu, prestasi separuh pertama hanya menyumbang sekitar 43% hingga 44% daripada unjuran pendapatan tahunan.
"Sehubungan itu, kami menjangkakan 2H26 menjadi tempoh pemulihan yang lebih sihat bagi MBMR dengan tempahan tertunggak kekal stabil pada 43,000 unit," katanya dalam nota penyelidikan.
Selain itu, jualan model Perodua Traz dijangka terus menyokong jumlah jualan keseluruhan selepas model tersebut tersenarai antara 10 model paling laris pada separuh pertama 2026 (1H26).
RHB Research menganggarkan Traz akan menyumbang sekitar 20,000 hingga 23,000 unit, bersamaan kira-kira 6% daripada jumlah keseluruhan jualan Perodua tahun ini.
Firma penyelidikan itu turut menjangkakan MBMR akan melaksanakan satu lagi program penyelenggaraan loji pada September 2026 sebelum kemudahan pengeluarannya kembali beroperasi pada kapasiti penuh menjelang suku keempat 2026 (4Q26).
Keputusan Kewangan 1HFY26
Sementara itu, keputusan kewangan MBMR bagi separuh pertama 2026 dijangka diumumkan pada 27 Ogos, dengan RHB Research mengunjurkan syarikat mencatat keuntungan antara RM70 juta hingga RM80 juta.
Prestasi itu dijangka disokong oleh jualan Perodua yang meningkat kepada 84,062 unit pada suku kedua 2026, naik 13% berbanding suku sebelumnya dan 4% lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.
Firma penyelidikan itu turut menjangkakan MBMR mengumumkan dividen sesaham sekitar 6 hingga 7 sen bagi suku kedua.
Dari sudut penilaian, RHB Research berkata MBMR kini didagangkan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY27 sebanyak 5.8 kali, iaitu sekitar -1 sisihan piawai di bawah purata lima tahunnya, sekali gus menjadikan harga semasa menarik untuk pelabur.
Bagaimanapun, antara risiko utama kepada unjuran tersebut ialah penghantaran kenderaan yang lebih rendah daripada jangkaan serta nisbah pembayaran dividen yang lebih rendah berbanding unjuran. - DagangNews.com






