MARC Ratings potong penarafan sukuk Zetrix AI kepada BB+ berikutan kemerosotan kedudukan kewangan

LocalBusiness & Finance
19 Oct 2026 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MARC Ratings potong penarafan sukuk Zetrix AI kepada BB+ berikutan kemerosotan kedudukan kewangan Image from: MARC Ratings potong penarafan sukuk Zetrix AI kepada BB+ berikutan kemerosotan kedudukan kewangan amree19/10/2026 - 09:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Okt — MARC Ratings menurunkan penarafan program Sukuk Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) Zetrix AI Berhad bernilai sehingga RM2 bilion kepada BB+IS daripada AA-IS, susulan kemerosotan kedudukan kewangan, kebimbangan kecairan serta ketidaktentuan tadbir urus.

 

Agensi penarafan itu turut mengekalkan program sukuk berkenaan dalam status MARCWatch Negative, sekali gus menunjukkan risiko penurunan penarafan lanjut sekiranya kedudukan kewangan Zetrix AI terus merosot atau isu perjanjian sukuk gagal diselesaikan.

 

Kata MARC Ratings, penurunan itu mencerminkan kemerosotan ketara profil kredit syarikat berkenaan sejak semakan penarafan terdahulu pada 31 Oktober 2025, selain ketidaktentuan berkaitan struktur pemegang saham dan prospek pembayaran balik hutang.

 

Antara kebimbangan utama ialah pengurangan pegangan saham pengasas, Wong Thean Soon, menyebabkan beliau tidak lagi menjadi pemegang saham terbesar tunggal Zetrix AI. Perkembangan itu berpotensi mencetuskan pelanggaran Klausa 12.1(p) dalam Surat Ikatan Amanah program sukuk berkenaan.

 

MARC Ratings berkata, pihak pemegang amanah mengesahkan isu berpotensi itu pada 16 Oktober 2026, manakala Zetrix AI diberikan tempoh sehingga 22 Oktober 2026 untuk menyelesaikannya. Jika gagal, persetujuan atau arahan pemegang sukuk perlu diperoleh melalui Resolusi Luar Biasa.

 

Bagaimanapun, agensi itu menjelaskan bahawa potensi pelanggaran berkenaan tidak secara automatik bermaksud kemungkiran sudah diisytiharkan atau sukuk tertunggak perlu dibayar balik serta-merta.

 

Zetrix_DagangNews2026

 

Pada masa sama, MARC Ratings turut membangkitkan ketidaktentuan berhubung rancangan penyenaraian Zetrix AI di Nasdaq melalui penggabungan dengan syarikat pemerolehan bertujuan khas (SPAC). Urus niaga yang asalnya disasarkan selesai menjelang akhir 2026 itu berkemungkinan ditunda ke suku pertama 2027.

 

Sebahagian hasil daripada cadangan penyenaraian itu dirancang untuk menyokong pembayaran balik sukuk. Namun, MARC Ratings memberi amaran pelaksanaan transaksi itu masih berdepan risiko, dan sebarang kelewatan atau kegagalan boleh menjejaskan ketersediaan dana bagi memenuhi pembiayaan.

 

Agensi itu turut menyorot pelantikan juruaudit luar baharu, khususnya berhubung perbelanjaan pembangunan yang dikapitalisasikan dalam jumlah besar. Kebolehpulihan aset tersebut bergantung pada andaian manfaat ekonomi masa hadapan, manakala penilaian semula oleh juruaudit baharu berpotensi mempengaruhi keuntungan dilaporkan, nilai aset dan ekuiti pemegang saham.

 

Menurut MARC Ratings, perubahan berkenaan juga boleh melemahkan nisbah leveraj serta petunjuk kewangan Zetrix AI. Agensi itu sebelum ini turut berdepan kekurangan maklumat mengenai beberapa perkara material, sekali gus mengehadkan penilaian menyeluruh terhadap risiko kewangan kumpulan.

 

Program sukuk itu mula diletakkan dalam status MARCWatch Developing pada 18 September sebelum ditukar kepada MARCWatch Negative pada 4 Oktober. 

 

MARC Ratings berkata tekanan penarafan lanjut boleh berlaku jika isu perjanjian sukuk tidak diselesaikan, sumber kecairan yang dijangka gagal diperoleh atau pendedahan kewangan seterusnya menunjukkan kemerosotan tambahan dalam kedudukan kewangan Zetrix AI. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved