
Sabtu yang luar biasa buat Aprilia Racing di Litar Antarabangsa Pertamina Mandalika apabila Marco Bezzecchi menampilkan persembahan sempurna, mendominasi sepanjang hari dan menutupnya dengan kemenangan dramatik dalam Sprint Race MotoGP Indonesia 2025.
Bezzecchi, yang mencatat masa terpantas dalam sesi FP2, terus mempamerkan kelajuan luar biasa apabila meraih petak pertama (pole position) dengan catatan rekod baharu litar 1’28.832, menjadikannya pelumba terpantas pernah mencatat masa sedemikian di Mandalika. Ini merupakan petak utama ketiganya musim ini selepas Austria dan Misano — serta pole pertama Aprilia di litar Indonesia, menjadikan jumlah keseluruhan 12 kali pole dalam sejarah kelas perdana mereka.
Walaupun memulakan perlumbaan dengan sedikit kesilapan dan jatuh ke tempat keenam pada pusingan pembukaan, Bezzecchi memulakan kebangkitan luar biasa. Dengan ketenangan dan ketepatan, beliau menyalip satu demi satu pesaing sebelum membuat pintasan terakhir yang menakjubkan di pusingan penutup, menewaskan Fermín Aldeguer untuk meraih kemenangan Sprint keduanya musim ini selepas Misano.
“Ia satu perlumbaan yang menakjubkan, dan saya amat gembira,” kata Bezzecchi. “Permulaan saya tidak sempurna dan saya kehilangan beberapa posisi, tetapi saya tahu saya laju. Ketika saya memintas Fernández, saya tak sangka mampu kejar Aldeguer, tapi selepas beberapa pusingan saya semakin rapat, jadi saya terus menekan hingga ke garisan penamat.”
Sementara itu, Raúl Fernández turut mencipta detik manis buat pasukan Trackhouse MotoGP Team. Beliau menamatkan sesi kelayakan di tempat ketiga untuk meraih barisan hadapan pertamanya musim ini, dan mengekalkannya dengan kedudukan ketiga dalam Sprint – sekaligus mencatat podium pertama dalam karier MotoGP.
Pengarah Teknikal Aprilia Racing, Massimo Sterlacchini, memuji prestasi keseluruhan pasukan:
“Ia hari yang sangat positif. Kedua-dua RS-GP25 dan Marco menunjukkan potensi luar biasa. Walaupun permulaan tidak ideal, Marco memaksimumkan kekuatan jentera kami. Prestasi hebat Raúl dan pasukan Trackhouse juga membuktikan kemampuan Aprilia. Mereka luar biasa – barisan hadapan dan podium dalam satu hari. Namun hujung minggu ini belum berakhir. Sasaran kami kini adalah menutupnya dengan satu lagi keputusan kuat pada Ahad.”
The post Marco Bezzecchi Cipta Rekod & Menang Sprint di Mandalika, Aprilia Rai Hari Gemilang appeared first on TW Media.

