
SUBANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mencatat nilai rampasan melebihi RM4.38 bilion hasil operasi penguatkuasaan di perairan negara setakat 24 Julai lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dalam tempoh sama, agensi itu juga melaksanakan sebanyak 116,192 pemeriksaan dan 26,253 penggeledahan.
Katanya, operasi itu turut membawa kepada 562 tangkapan, selain pelaksanaan 129 kes mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan 638 mangsa.
“Pencapaian ini mencerminkan skala tanggungjawab dan komitmen Maritim Malaysia dalam memastikan perairan negara kekal selamat, kedaulatan terpelihara dan nyawa di laut dapat diselamatkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penerimaan Helikopter AW189 di Stesen Udara Maritim Subang di sini, hari ini.
Saifuddin berkata, Malaysia mempunyai zon maritim seluas 556,285 kilometer persegi dan berada di laluan perdagangan utama dunia.
“Laut bukan sahaja menjadi sempadan negara, malah nadi kepada perdagangan, industri minyak dan gas, perikanan, pelancongan serta ekonomi negara.
“Justeru, keselamatan dan kedaulatan perairan amat penting bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara,” katanya.
Menurut Saifuddin, Maritim Malaysia memainkan peranan penting sebagai barisan hadapan negara di laut dalam menangani pelbagai cabaran keselamatan yang semakin kompleks.
“Antara cabaran yang dihadapi termasuk jenayah rentas sempadan, penyeludupan dadah, senjata dan migran, pemerdagangan orang serta pencerobohan terhadap sumber perikanan negara.
“Selain itu, kegiatan jenayah ekonomi serta ancaman terhadap infrastruktur kritikal maritim turut menjadi antara cabaran keselamatan yang perlu ditangani,” katanya.
Beliau berkata, Maritim Malaysia perlu terus memperkukuh keupayaan pengawasan, penguatkuasaan dan tindak balas pantas berasaskan teknologi.
“Keupayaan itu penting bagi memastikan perairan negara kekal selamat, kedaulatan terpelihara serta kepentingan rakyat terus dilindungi,” katanya. – UTUSAN
The post Maritim catat rampasan lebih RM4.38 bilion appeared first on Utusan Malaysia.





