Masih anggap diri pelakon baharu, Razzuan Rosli pernah putus asa

Entertainment
24 Aug 2026 • 6:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Masih anggap diri pelakon baharu, Razzuan Rosli pernah putus asa

KUALA LUMPUR: Pelakon, Razzuan Rosli masih menganggap dirinya sebagai pelakon baharu meskipun sudah lebih sedekad berkecimpung dalam dunia lakonan.

Menurut Razzuan, perjalanannya selama berbelas tahun menempa nama dalam industri juga tidak mudah, malah mendedahkan dirinya pernah berhasrat untuk meletakkan noktah dalam kerjaya seni kerana bakatnya kurang disedari.

“Saya masih menganggap diri sebagai pelakon baharu kerana masih ramai pelakon, pengarah dan syarikat produksi yang belum pernah bekerjasama dengan saya.

“Kalau secara tidak rasmi, saya bermula sejak 2011. Tetapi peluang untuk masuk ke dalam industri secara rasmi datang pada 2019 menerusi Drama Festival Kuala Lumpur.

“Ada satu ketika dalam hidup saya terfikir, mungkin ini pengakhirannya. Tahun lalu memang saya hampir berputus asa kerana dalam tempoh setahun, saya cuma ada satu pekerjaan.

“Selepas itu, tiada tawaran lain yang datang. Ketika itu memang saya terfikir mungkin perjalanan saya dalam bidang ini sudah sampai ke penghujung,” katanya kepada Utusan Malaysia

Dalam masa sama, Razzuan tidak pernah melihat kejayaan pelakon baharu yang lebih disanjung dan popular berbandingnya sebagai sesuatu yang perlu dikesali atau dicemburui.

“Saya tidak rasa terkilan apabila melihat orang lain mendapat peluang lebih awal. Pada akhirnya, kita semua bekerja dalam ruang yang sama dan merupakan pemain dalam industri yang sama.

“Mungkin rezeki seseorang datang lebih awal, jadi dia mendapat peluang besar lebih cepat. Bagi saya pula, peluang itu datang lambat dan kerana itu saya sangat menghargai setiap perkara kecil yang diberikan.

“Kalau dapat watak yang bagus tetapi cuma ada satu atau dua babak pun, saya tetap hargai. Bukan mudah untuk saya mendapatkan peluang walaupun hanya satu atau dua babak,” jelasnya.

Ditanya apa yang membuatkan dirinya terus bertahan dalam industri, Razzuan menyerahkan sebulat-bulatnya urusan rezekinya kepada Sang Pencipta.

“Saya fikir, perjalanan ini sudah berbelas tahun dan saya sudah sampai sejauh ini. Kenapa mahu berhenti di sini? Jadi, saya pilih untuk teruskan sahaja.

“Saya kembali kepada pegangan bahawa rezeki itu milik Allah. Ada satu malam saya berdoa dan beberapa bulan selepas itu, keadaan mula berubah. Tawaran-tawaran yang lebih besar mula datang.

“Saya seorang pelakon yang sentiasa pergi uji bakat. Walaupun orang sudah mengenali saya, saya tetap pergi. Ada yang bertanya kenapa masih pergi uji bakat walaupun sudah banyak berlakon.

“Saya jawab, kalau saya sudah terlalu banyak berlakon dan sentiasa mendapat tawaran, saya tidak akan berada di situ. Sampai sekarang saya masih pergi uji bakat kerana sejak dahulu, itulah ruang untuk saya mencari kerja. Saya tidak pernah malu,” jelasnya.

Berkat kesabaran yang tinggi, Razzuan bersyukur apabila akhirnya diberi peluang menggalas watak utama buat pertama kali dalam drama Sepenuh Hati Rindu selepas berbelas tahun menanti.

“Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk membawa watak utama buat pertama kali setelah berbelas tahun menanti. Tanggungjawabnya sangat berat berbanding ketika memegang watak pembantu. Saya sangat bersyukur dengan peluang ini dan akan cuba melakukan yang terbaik,” ujarnya.

The post Masih anggap diri pelakon baharu, Razzuan Rosli pernah putus asa appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved