
PUTRAJAYA: Seorang lelaki didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 48 Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832].
Joseph Prakash mengaku bersalah kerana bertindak bagi pihak atau mewakili Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional (PKIPN) yang pendaftarannya telah dibatalkan pada April 2026.
Menurut kenyataan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
“Siasatan JPPM mendapati nama, logo dan identiti PKIPN terus digunakan dalam kandungan media sosial, video, poster, hebahan, program awam serta kenyataan kepada media selepas pembatalan pendaftarannya.
“Tindakan tersebut memberikan gambaran kepada orang ramai bahawa pertubuhan berkenaan masih sah dan aktif,” katanya hari ini.
JPPM menegaskan bahawa pertubuhan yang telah dibatalkan pendaftarannya tidak boleh terus beroperasi atau diwakili seolah-olah masih sah dan aktif.
Katanya, mana-mana individu yang bertindak bagi pihak atau mewakili pertubuhan yang menyalahi undang-undang boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pertubuhan 1966.
“JPPM tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang dan akan terus memperkukuh tindakan penguatkuasaan demi memelihara integriti pengurusan pertubuhan serta melindungi kepentingan awam,” katanya. – UTUSAN
The post Masih guna nama pertubuhan selepas dibatal, lelaki didenda RM3,500 appeared first on Utusan Malaysia.






