MASkargo, Qatar Airways Cargo dan IAG Cargo lancar Global Cargo Joint Business tahun ini

WorldBusiness & Finance
3 Jun 2025 • 10:08 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MASkargo, Qatar Airways Cargo dan IAG Cargo lancar Global Cargo Joint Business tahun ini

image is not available

03/06/2025 - 10:08

(Dari kiri ke kanan) : Ketua Pegawai Eksekutif IAG Cargo, David Shepherd, Ketua Pegawai Eksekutif MASkargo, Mark Jason Thomas, Timbalan Pengarah Perkongsian Sektor Swasta Program Makanan Dunia (WFP), Virginia Villar Arribas, dan Ketua Pegawai Kargo, Mark Drusch. Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 3 Jun – MASkargo, Qatar Airways Cargo dan IAG Cargo bakal melancarkan Global Cargo Joint Business menjelang akhir 2025, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.

Pengumuman itu dibuat pada pameran Air Cargo Europe di Munich, susulan pengumuman awal pada April lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MASkargo, Mark Jason Thomas berkata, kerjasama ini menandakan detik penting buat syarikat dan industri kargo global.

"MASkargo komited menghubungkan Asia ke seluruh dunia. Kolaborasi ini menambah nilai, jangkauan dan kecekapan lebih besar untuk pelanggan kami," katanya dalam satu kenyataan.

Sebagai sebahagian daripada komitmen kemanusiaan, ketiga-tiga syarikat akan memeterai perjanjian individu dengan Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dengan sumbangan keseluruhan sebanyak 1,000 tan metrik ruang kargo percuma bagi penghantaran bekalan makanan ke kawasan memerlukan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Perkongsian Sektor Swasta WFP, Virginia Villar Arribas berkata, kerjasama itu menunjukkan peranan sektor swasta yang semakin penting dalam mempercepatkan bantuan kemanusiaan.

"Kami bersemangat untuk bekerjasama dengan Qatar Airways Cargo, IAG Cargo dan MASkargo dalam membentuk pendekatan yang membantu WFP menyampaikan bantuan dengan lebih cepat, cekap dan berskala," katanya.

Pada peringkat awal, kerjasama akan menumpukan kepada pasaran kargo utama, manakala perluasan ke negara lain akan dilaksanakan secara berfasa bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa.

Antara tawaran masa depan termasuk produk dan perkhidmatan diperkemas, rumusan digital dipertingkat serta program kesetiaan bersama berasaskan mata ganjaran Avios.

Ketua Pegawai Eksekutif IAG Cargo, David Shepherd berkata, kerjasama itu bakal membuka peluang komersial baharu menerusi rangkaian bersatu yang lebih cekap dan boleh dipercayai.

Kerjasama itu juga akan mengoptimumkan penggunaan pesawat kargo dan ruang kargo dalam perut pesawat (belly hold) merentasi rangkaian masing-masing.

Ketua Pegawai Kargo Qatar Airways Cargo, Mark Drusch berkata, gabungan itu akan menawarkan perkhidmatan tiada tandingan kepada pelanggan global.

"Gabungan ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan, malah membolehkan kami menyumbang kepada tanggungjawab sosial korporat melalui sokongan kepada WFP.

Perkongsian strategik itu bakal menawarkan laluan baharu yang fleksibel, kecekapan operasi lebih tinggi serta capaian global merangkumi Asia Pasifik, Asia Barat, Afrika, Subbenua India, Eropah, dan Amerika.- DagangNews.com

standard