Master Tec peruntuk RM13.82 juta bagi mesin baharu dan sistem penyimpanan tenaga bateri

LocalBusiness & Finance
13 Nov 2026 • 10:43 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Master Tec peruntuk RM13.82 juta bagi mesin baharu dan sistem penyimpanan tenaga bateri Image from: Master Tec peruntuk RM13.82 juta bagi mesin baharu dan sistem penyimpanan tenaga bateri sarah13/11/2026 - 10:43 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Nov - Master Tec Group Berhad (Master Tec) mempunyai komitmen pelaburan modal berjumlah RM13.82 juta bagi memperkukuh keupayaan pengeluaran dan kecekapan tenaga, termasuk pembelian mesin serta peralatan baharu dan pemasangan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS).

 

Menurut kenyataan media syarikat, komitmen modal yang telah diluluskan dan dikontrakkan setakat 30 September 2026 itu merupakan sebahagian daripada usaha kumpulan meningkatkan kecekapan operasi, kualiti produk dan pengurusan kos bagi menyokong pertumbuhan perniagaan jangka panjang.

 

Pengarah Urusannya, Datuk Lau Kim San berkata, kumpulan akan terus memperkukuh keupayaan pengeluaran dan kecekapan operasi, selain menguruskan kos secara berhemat bagi memastikan daya saing perniagaan dalam persekitaran pasaran yang semakin mencabar.

 

Buku tempahan RM221.1 juta sokong pertumbuhan

Sementara itu, Master Tec mengekalkan buku tempahan tertunggak sebanyak RM221.1 juta bagi perniagaan pembuatan dan pengedaran kabel setakat 30 September 2026, disokong permintaan berterusan daripada sektor utiliti, infrastruktur, pembinaan dan tenaga boleh diperbaharui.

 

Kumpulan turut mendapat manfaat daripada permintaan produk kabel bagi pembangunan pusat data dan projek perindustrian, manakala anak syarikatnya, Sediacom Sdn Bhd, terus melaksanakan kerja telekomunikasi dan kejuruteraan termasuk penggerudian berarah mendatar serta pembangunan infrastruktur gentian optik.

 

Lau berkata, kumpulan kekal optimis secara berhati-hati terhadap prospek perniagaan bagi baki tahun kewangan 2026, dengan tumpuan kepada peningkatan produktiviti, pengukuhan kapasiti pengeluaran dan pelaksanaan projek infrastruktur.

 

Keuntungan suku ketiga tertinggi sejak penyenaraian

Dari segi prestasi kewangan, Master Tec mencatat keuntungan selepas cukai tertinggi sejak penyenaraiannya sebanyak RM10.49 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, meningkat 27.46% berbanding RM8.23 juta setahun sebelumnya, manakala hasil melonjak 72.53% kepada RM199.85 juta daripada RM115.83 juta.

 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, keuntungan selepas cukai kumpulan meningkat 23.81% kepada RM24.39 juta berbanding RM19.70 juta, sementara hasil bertambah 48.34% kepada RM431.51 juta daripada RM290.89 juta, dipacu pertumbuhan perniagaan pembuatan kabel, perdagangan serta perkhidmatan kontrak. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved