
Malaysia sudah menjamin sekurang-kurangnya satu slot ke suku akhir acara beregu lelaki Masters Kumamoto apabila dua gandingan negara, Aaron Tai-Roy King dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani bakal bertembung dalam pusingan kedua Masters Jepun, Khamis ini.
Kejayaan itu hadir selepas Aaron-Roy King mencipta kejutan dengan menyingkirkan gandingan tuan rumah yang juga pilihan ranking lebih tinggi, Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi, dalam aksi pusingan pertama di Gimnasium Wilayah Kumamoto, hari ini.
Beraksi hanya selama 25 minit, pasangan yang menghuni ranking ke-55 dunia itu tampil bertenaga untuk melakar kemenangan straight set 21-8, 21-14 ke atas wakil Jepun berkenaan yang berada di ranking ke-17 dunia.
Juara Terbuka Artik itu mengambil sedikit masa untuk mendapatkan rentak sebelum mula menguasai permainan, sekali gus menamatkan cabaran lawan dengan cukup meyakinkan.
Jurulatih beregu lelaki negara, Chang Kim Wai berkata, Aaron-Roy King pada awalnya agak perlahan untuk menyesuaikan permainan, namun berjaya mengubah pendekatan selepas membaca corak permainan lawan.
“Pada set pertama, mereka agak lambat untuk mendapatkan rentak permainan. Namun, selepas berjaya membaca corak permainan lawan, mereka mula mengganggu rentak dan corak permainan pasangan Jepun itu,” katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun, cabaran lebih besar menanti mereka pada pusingan kedua apabila dijadual berdepan pasangan profesional negara, Sze Fei-Izzuddin.
Gandingan ranking kelima dunia itu turut mengesahkan kemaraan selepas menepati ramalan dengan menewaskan pasangan Denmark, Christian Faust Kjaer-Rasmus Kjaer, yang berada di ranking ke-20 dunia, 21-15, 21-16.
Pertembungan itu bakal menjadi pertemuan pertama antara kedua-dua pasangan, sekali gus membuka peluang buat Aaron-Roy King mengukur kemampuan menentang beregu lebih berpengalaman yang turut menjadi sandaran utama negara.
Dalam perkembangan lain, nasib berbeza menimpa satu lagi beregu lelaki negara, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong apabila terkandas di pusingan pertama selepas tewas dalam pertarungan tiga set kepada pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard, 16-21, 21-16, 20-22.
Sementara itu, gandingan Chia Weijie-Teo Yi berjaya melangkah ke undian utama selepas menewaskan pasangan China, Lin Xiang Yi-Zeng Wei Han, 21-15, 21-18 dalam aksi kelayakan.
Bagaimanapun, cabaran lebih getir menanti mereka di pusingan pertama undian utama apabila dijadual bertemu gandingan China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu.






