
KUALA LUMPUR – Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa melupakan Kejohanan Badminton Kumamoto Masters lebih awal apabila menarik diri di pusingan pertama.
Pada perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Kumamoto, Jepun sebentar tadi, bekas juara dunia itu terpaksa menarik diri seawal set pertama ekoran kecederaan.
Jurulatih beregu lelaki kebangsaan, Chang Kim Wai berkata, anak-anak buahnya itu mengambil keputusan tersebut kerana kecederaan tumit dialami Wooi Yik belum pulih sepenuhnya.
“Saya lihat Aaron okey sahaja, cuma Wooi Yik itu sejak di Terbuka Perancis lagi sudah kena (kecederaan),” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Pemenang dua pingat gangsa Sukan Olimpik itu menarik diri ketika ketinggalan 6-11 di set pertama kepada beregu India, Hariharan Amsakarunan-M.R. Arjun.
Keputusan menarik diri menyaksikan laluan Aaron-Wooi Yik ke saingan Jelajah Dunia Akhir (WTF) di Hangzhou, China bulan depan kian berliku kerana kedudukan mereka belum terjamin.
Perkembangan terbaharu itu turut menimbulkan tanda tanya sama ada mereka akan beraksi ataupun tidak pada kejohanan Terbuka Hong Kong minggu depan.
Sebagai rekod, Kumamoto Masters dan Terbuka Hong Kong merupakan dua kejohanan terakhir yang menawarkan mata kelayakan ke Jelajah Dunia Akhir bermula 9 hingga 13 Disember nanti.
Ketika ini, Aaron-Wooi Yik menghuni kedudukan keenam ranking Jelajah Dunia dengan lapan beregu teratas dan maksimum dua wakil setiap negara akan layak.
Beregu Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani (Indonesia) dan Chen Boyang-Liu Yi (China) turut bersaing bagi memburu tempat ke Jelajah Dunia Akhir. – KOSMO! ONLINE
The post Misi Aaron-Wooi Yik ke WTF makin mencabar appeared first on Kosmo Online.






