Mata kail tersangkut wayar elektrik, pelajar 14 tahun maut terkena renjatan

7 Sep 2026 • 4:06 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

Mata kail tersangkut wayar elektrik, pelajar 14 tahun maut terkena renjatan

KOTA BHARU – Hasrat seorang pelajar Tingkatan Dua untuk mendapatkan semula mata kail yang tersangkut ketika memancing berakhir tragedi apabila dia maut selepas terkena renjatan elektrik di Kampung Langgar, di sini, petang semalam.

Mohamad Amiruddin Anwar Md. Azam, 14, dipercayai terkena renjatan ketika menggunakan galah besi bagi mengait mata kail yang tersangkut pada wayar elektrik dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang.

Mangsa kemudian diberikan bantuan kecemasan sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), namun meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Ibunya, Norhabibi Jaafar, 52, berkata, sebelum kejadian, anak sulung daripada tiga beradik itu keluar menaiki basikal bersama adiknya, Azamuddin Azwa serta saudara mereka, Eizzrayyan Riduan untuk memancing di kawasan sungai berhampiran rumah.

Menurutnya, ketika memancing, tali pancing yang dilemparkan Mohamad Amiruddin menyebabkan mata kail dipercayai tersangkut pada wayar elektrik.

Katanya, anaknya kemudian pulang semula ke rumah yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi untuk mengambil galah besi yang biasanya digunakan bagi mengait buah.

“Arwah dikatakan berpatah semula ke rumah yang hanya terletak 100 meter dari lokasi kejadian untuk mengambil galah besi mengait buah untuk mengambil semula mata kail itu.

“Ketika mengait mata kail itu, Mohamad Amiruddin terkena renjatan elektrik. Adiknya sempat melihat arwah berada dalam keadaan kaku dengan memegang galah tersebut sebelum rebah,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Langgar, hari ini.

Norhabibi berkata, Eizzrayyan yang berada berhampiran turut terkena sedikit renjatan selepas cuba memegang badan Mohamad Amiruddin.

Susulan kejadian itu, adik mangsa berlari mendapatkan bantuan saudara-mara sebelum pulang ke rumah untuk memaklumkan perkara berkenaan kepada ibunya.

Menurut Norhabibi, seorang doktor yang kebetulan tinggal berhampiran lokasi kejadian tampil memberikan bantuan kecemasan dengan melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) terhadap anaknya.

“Seorang doktor yang kebetulan tinggal berhampiran lokasi kejadian datang membantu arwah dengan melakukan bantuan pernafasan (CPR) sebelum membawanya ke HRPZ II.

“Melihat keadaan Mohamad Amiruddin yang terbujur kaku, saya sudah reda sebelum arwah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke HRPZ II,” katanya.

Norhabibi berkata, Mohamad Amiruddin memang gemar memancing dan sering melakukan aktiviti berkenaan pada waktu petang.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Langgar kira-kira pukul 9.20 pagi tadi.

The post Mata kail tersangkut wayar elektrik, pelajar 14 tahun maut terkena renjatan appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved