
KOTA BHARU – Seorang pelajar tingkatan dua maut ketika mengait mata kail yang tersangkut pada wayar elektrik dengan menggunakan galah besi dalam kejadian di Kampung Langgar di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, mangsa, Mohamad Amiruddin Anwar Md. Azam, 14, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.
Ibunya, Norhabibi Jaafar, 52, berkata, sebelum kejadian, Allahyarham Mohamad Amiruddin bersama adiknya, Azamuddin Azwa dan saudara mereka, Eizzrayyan Riduan menunggang basikal ke kawasan sungai untuk mengail ikan.
Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian, Mohamad Amiruddin melempar tali pancingnya ke dalam sungai sebelum mata kail dipercayai tersangkut pada wayar elektrik.
“Arwah dikatakan berpatah semula ke rumah yang hanya terletak 100 meter dari lokasi kejadian untuk mengambil galah besi mengait buah untuk mengambil semula mata kail itu.
“Ketika mengait mata kail itu, Mohamad Amiruddin terkena renjatan elektrik. Adiknya sempat melihat arwah berada dalam keadaan kaku dengan memegang galah tersebut sebelum rebah,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Langgar di sini hari ini.
Norhabibi memberitahu, Eizzrayyan yang berada berhampiran arwah sempat memegang badan arwah Mohamad Amiruddin sehingga menyebabkan dia turut terkena sedikit renjatan.
Menurutnya, adik kepada arwah terus berlari meminta bantuan saudara mara sebelum pulang ke rumah untuk memaklumkan kejadian itu kepadanya.
“Seorang doktor yang kebetulan tinggal berhampiran lokasi kejadian datang membantu arwah dengan melakukan bantuan pernafasan (CPR) sebelum membawanya ke HRPZ II.
“Melihat keadaan Mohamad Amiruddin yang terbujur kaku, saya sudah reda sebelum arwah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke HRPZ II,” ujarnya.
Katanya, Allahyarham Mohamad Amiruddin yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik adalah memancing dan sering keluar untuk melakukan aktiviti tersebut pada waktu petang.
Tambahnya, jenazah Mohamad Amiruddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Langgar di sini kira-kira pukul 9.20 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE
The post Maut kena renjatan, mata kail tersangkut wayar elektrik appeared first on Kosmo Digital.





