
ALOR GAJAH – Ibu kepada wanita yang ditemukan meninggal dunia bersama seorang lelaki di dalam sebuah kereta sempat membuat laporan polis sebelum penemuan mayat kedua-dua mangsa, di Taman Inang Sari, Durian Tunggal tengah malam tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar, laporan mengenai kehilangan wanita berusia 31 tahun itu diterima daripada ibunya pada 17 September lalu.
Katanya, bagaimanapun sebelum tindakan lanjut berhubung laporan orang hilang (OH) itu dijalankan, pihaknya telah menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan dua individu dipercayai telah meninggal dunia di dalam sebuah Proton Preve kira-kira pukul 12.05 tengah malam tadi.
“Belum sempat kes orang hilang dibuka, kita menerima maklumat daripada orang awam mengenai dua individu di dalam kenderaan terbabit iaitu seorang wanita berusia 31 tahun dan lelaki berusia 33 tahun yang kedua-duanya telah meninggal dunia.
“Pemeriksaan awal mendapati mayat wanita tersebut adalah individu yang dilaporkan hilang, manakala lelaki tersebut dipercayai merupakan kenalannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Tambahnya, kenderaan terbabit ditemukan diparkir di tepi jalan dalam keadaan tidak berkunci dan pemeriksaan awal di lokasi juga mendapati tiada unsur samun atau pergelutan dikesan setakat ini.
Beliau berkata, berdasarkan keadaan mayat yang sudah membengkak, kedua-dua mangsa dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh kira-kira tiga hari sebelum ditemukan.
“Semakan mendapati kedua-dua mangsa beralamat di Melaka dengan wanita terbabit masih bujang.
“Majikan wanita itu juga memaklumkan mangsa tidak hadir bekerja sejak tiga hari lalu,” katanya
Ujarnya, mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Habis.
The post Mayat dalam kereta: Ibu sempat lapor anak hilang 3 hari appeared first on Kosmo Online.






