ALOR GAJAH – Berita mengenai penemuan seorang wanita berusia 31 tahun yang maut bersama seorang lelaki di dalam sebuah kereta di Taman Inang Sari, Durian Tunggal, di sini tengah malam Ahad mengejutkan keluarganya.
Lebih mengejutkan, lelaki berusia 33 tahun yang ditemukan bersama wanita berkenaan merupakan bekas kekasihnya.
Abang mangsa yang enggan dikenali berkata, adiknya pernah memberitahu bahawa hubungan dengan lelaki terbabit telah lama berakhir.
ARTIKEL BERKAITAN: Hilang tiga hari: Wanita ditemukan maut bersama kenalan lelaki dalam kereta
Katanya, kedua-duanya pernah menjalin hubungan dan hampir mendirikan rumah tangga, namun perancangan itu tidak kesampaian.
“Saya terkejut apabila menerima panggilan daripada rakan yang memaklumkan mereka ditemukan bersama dalam kereta Proton Preve.
“Arwah (adik) beritahu mereka sudah lama berpisah. Saya tidak sangka perkara ini berlaku kerana setahu saya mereka sudah lama tidak bersama,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Ahad.
**media[3653759]**
Menurutnya, adiknya dibesarkan oleh nenek mereka sebelum menetap bersama ibu saudara di Kampung Pulau, Durian Tunggal.
Katanya, dia diminta hadir ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah bagi membantu proses pengecaman mayat wanita berkenaan.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki berusia 33 tahun dan seorang wanita ditemukan tidak bernyawa dalam sebuah Proton Preve di Taman Inang Sari pada pukul 12.05 tengah malam Ahad.
Polis menerima maklumat mengenai penemuan kedua-dua mangsa daripada orang awam.
Kenderaan itu ditemukan diletakkan di tepi jalan dalam keadaan tidak berkunci, manakala pemeriksaan awal tidak menemukan unsur jenayah atau pergelutan.
Berdasarkan keadaan mayat yang sudah membengkak, kedua-dua mangsa dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh tiga hari sebelum ditemukan.
Semakan turut mendapati ibu mangsa wanita pernah membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya pada 17 September lalu.
Setakat ini, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.






