
JITRA – Tempoh reman pasangan suami isteri disambung dua hari lagi bermula hari ini bagi membantu siasatan kes penipuan wang permainan kutu.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Radzi Abdul Rahim berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 39 dan 36 tahun itu sebelum ini direman selama empat hari bermula 6 Ogos lalu dan berakhir hari ini.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan pasangan suami isteri terbabit dilaporkan hilang bersama anak lelaki mereka yang berusia sembilan tahun oleh ahli keluarga pada 20 Julai lalu.
Pasangan itu kemudian menyerahkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu di sini kira-kira pukul 1.50 pagi, Khamis lalu.
Polis tidak menolak kemungkinan kehilangan tiga beranak itu mempunyai kaitan dengan hutang permainan kutu selepas menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 23 tahun yang mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM25,000. – KOSMO! ONLINE
The post Suami isteri sambung reman kes duit kutu appeared first on Kosmo Digital.






