.jpg)
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditemukan maut dengan kesan tikaman di sebuah rumah di Jalan Masjid Baung Bayam, Kota Bharu kira-kira jam 1 petang semalam.
Mangsa berusia 28 tahun itu ditemui oleh ahli keluarganya dalam keadaan berlumuran darah di bilik air rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, sebilah pisau turut ditemukan di tangan mangsa ketika kejadian.
Menurut beliau, saksi yang juga ibu saudara mangsa memaklumkan bahawa dia pergi ke bilik air dan terlihat darah di lantai, sebelum menemukan mangsa dengan kesan kecederaan pada bahagian leher.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua kesan tikaman di dagu, satu di leher dan satu lagi luka tikaman kecil di bahagian perut mangsa,” katanya hari ini.
Mohd Azmir berkata, siasatan lanjut mendapati mangsa tidak mempunyai sejarah penyakit, namun dipercayai terlibat dengan penyalahgunaan dadah sejak setahun lalu ketika bekerja di Johor.
Mangsa yang bekerja di Pasir Gudang, Johor, dilaporkan baru pulang ke kampung halamannya 16 Mei lalu.
Mohd Azmir berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menemukan sebarang tanda pergelutan atau unsur jenayah.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas pada jam 1 petang semalam.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. - Getaran, 21 Mei 2026
