Mayat Misteri Ditemui Terapung Di Taman Tasik Danau Kota

Entertainment
29 Jun 2025 • 10:40 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Seorang lelaki ditemui maut dalam keadaan terapung di tengah tasik di Taman Tasik Danau Kota, Setapak, pagi tadi. Penemuan mayat itu turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengunjung taman rekreasi berkenaan.

image is not available

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, panggilan kecemasan mengenai penemuan mayat itu diterima pada jam 8.16 pagi.

Sejurus selepas itu, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setapak bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender dihantar ke lokasi.

Memetik laporan Astro Awani, Komander Operasi, Zulkefri Abdul Malik berkata, setibanya pasukan di lokasi, mereka mendapati satu mayat lelaki dewasa berada dalam keadaan terapung di kawasan tengah tasik berkenaan.

“Pasukan segera melakukan tindakan dengan menggunakan tali dan pengusung (stretcher) untuk membawa mayat ke tebing. Operasi berjalan lancar dan mayat berjaya dinaikkan kira-kira 40 minit kemudian, pada jam 8.56 pagi”

Walau bagaimanapun, identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan mayat telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut termasuk proses pengecaman serta bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

image is not available

Setakat ini, tiada unsur jenayah dikenal pasti di lokasi kejadian namun siasatan terperinci masih diteruskan.

Penemuan ini turut menarik perhatian orang ramai yang berada di sekitar taman rekreasi berkenaan, dengan ada yang melahirkan rasa terkejut dan berharap agar kawasan sekitar dipantau lebih rapi pada masa akan datang.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.