Mayat tepi jalan: Polis percaya mangsa dibunuh di lokasi lain

8 Oct 2026 • 2:19 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Mayat tepi jalan: Polis percaya mangsa dibunuh di lokasi lain

SUNGAI SIPUT – Lelaki yang mayatnya ditemukan di tepi jalan di Kampung Air Hitam, Sungai Sejuk di sini, semalam, dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibawa dan ditinggalkan di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Charan Ai Wan berkata, berdasarkan siasatan, mangsa merupakan warga tempatan berusia 53 tahun dan berasal dari Puchong, Selangor.

Katanya, mayat mangsa telah dituntut ahli keluarganya semalam, selepas selesai proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.

“Bedah siasat yang bermula pada pukul 5 petang dan selesai kira-kira pukul 10 malam itu mengesahkan punca utama kematian mangsa adalah akibat jerutan pada bahagian leher,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut beliau, selain terdapat kesan jerutan pada bahagian leher, turut dikenal pasti pada tubuh mangsa ialah luka hiris dan tetak pada muka, leher, dada, anggota atas kanan dan anggota bawah kanan mangsa.

Katanya, turut ditemukan kesan lebam pada kedua-dua tangan mangsa.

“Kecederaan akibat luka hiris dan tetak pada tubuh mangsa dipercayai disebabkan objek tajam seperti pisau, pedang atau parang, manakala kesan jerutan pada leher pula dipercayai menggunakan objek tumpul seperti tali,” katanya.

Tambah beliau, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh manakala usaha mengesan dan menangkap suspek yang terlibat sedang giat dijalankan.

Menerusi laporan media semalam, seorang lelaki ditemukan orang awam sekitar pukul 4.45 pagi dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri di tepi jalan dengan beberapa kesan kecederaan pada tubuhnya.

Pemeriksaan awal pasukan penyiasat terhadap tubuh lelaki terbabit mendapati terdapat unsur jenayah dan dipercayai mangsa bunuh. – KOSMO! ONLINE

The post Mayat tepi jalan: Polis percaya mangsa dibunuh di lokasi lain appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved