Lima kematian akibat kemalangan direkod sepanjang program RXZ Members 8.0

3 Aug 2026 • 2:26 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Lima kematian akibat kemalangan direkod sepanjang program RXZ Members 8.0

Terdapat peningkatan kes kemalangan yang agak ketara pada penganjuran RXZ Members 8.0 berbanding RXZ Members 7.0.

KUALA TERENGGANU: Sebanyak lima kes kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan sepanjang penganjuran RXZ Members 8.0 yang berlangsung di sini pada Jumaat dan Sabtu lepas, berbanding dua kes pada penganjuran tahun lepas.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata lima kematian terbabit berlaku di Kemaman dan Dungun, melibatkan empat mangsa lelaki dan seorang wanita yang kesemuanya berusia antara 20 hingga 48 tahun.

“Terdapat peningkatan kes kemalangan yang agak ketara pada penganjuran RXZ Members 8.0 berbanding RXZ Members 7.0. Dua kes kemalangan maut berlaku di jalan persekutuan, manakala tiga lagi di Lebuhraya Pantai Timur 2.

“Selain itu, sebanyak 29 kes kemalangan direkodkan pada tahun ini melibatkan peserta program tersebut sepanjang penganjurannya, berbanding 11 kes pada tahun lepas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini hari ini.

Mohd Khairi berkata polis turut menahan enam individu, iaitu empat lelaki tempatan, seorang lelaki warga Singapura dan seorang wanita tempatan kerana memandu secara melulu dan berbahaya serta kesemua mereka akan dituduh dalam masa terdekat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata polis turut mengeluarkan 1,850 saman atas pelbagai kesalahan dan menyita 222 motosikal mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tindakan yang diambil itu, katanya, menolak dakwaan bahawa polis memberikan layanan istimewa kepada penganjur RXZ Members yang menghimpunkan sebanyak 160,000 peserta dari seluruh negara.

“Tindakan sitaan diambil terhadap motosikal yang menggunakan ekzos serta nombor pendaftaran tidak mematuhi spesifikasi. Walaupun kita tidak melaksanakan sekatan jalan raya, aktiviti penguatkuasaan tetap dilaksanakan mengikut kaedah tersendiri.

“Sekiranya ada layanan istimewa, sudah tentu tiada saman dikeluarkan dan tiada tindakan sitaan dibuat. Polis menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa pihak kami melindungi atau memberikan layanan istimewa untuk program ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Khairi berkata polis merekodkan satu kes penipuan melibatkan tawaran inap desa tidak wujud di Kampung Wakaf Tengah, Kuala Nerus dengan jumlah kerugian sebanyak RM1,200.

“Polis juga menahan tiga individu di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.

Tindakan pencegahan dan penguatkuasaan undang-undang, katanya, akan terus diperketat tanpa kompromi demi memastikan perhimpunan berskala besar seperti program RXZ Members tidak dicemari dengan aktiviti tidak sihat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved