liza13/10/2026 - 18:05 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Okt – Critical Holdings Bhd menerima pindaan surat anugerah kontrak melibatkan perubahan skop kerja bagi projek bilik bersih industri semikonduktor di Kulim Hi-Tech Park, Kedah, sekali gus meningkatkan nilai kontrak sebanyak RM74.10 juta kepada RM226.68 juta.
Nilai kontrak yang disemak semula itu mencerminkan peningkatan sebanyak 48.6% berbanding nilai asal RM152.59 juta yang dianugerahkan pada Mei lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Critical berkata, anak syarikat milik penuhnya, Critical Engineering Solutions Sdn Bhd yang sebelum ini dikenali sebagai Critical M&E Engineering Sdn Bhd menerima pindaan tersebut daripada sebuah syarikat multinasional berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yang membekalkan peralatan dan perkhidmatan fabrikasi wafer kepada industri semikonduktor.
Pindaan itu melibatkan perubahan skop kerja bagi seni bina bilik bersih baharu yang berkaitan dengan perkhidmatan mekanikal, elektrikal dan utiliti proses (MEP) di Kulim Hi-Tech Park.
Critical berkata, semua terma dan syarat lain dalam kontrak asal kekal tidak berubah.
Kontrak asal dianugerahkan pada Mei
Pada 22 Mei 2026, Critical mengumumkan bahawa anak syarikatnya memperoleh kontrak kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) bernilai RM152.59 juta daripada syarikat multinasional AS yang sama.
Kontrak asal itu dianugerahkan pada 11 Mei 2026, dengan kerja bermula pada tarikh yang sama dan dijadualkan siap pada 25 Disember 2026.
Ketika itu, Critical berkata, projek berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027.
Syarikat itu tidak mendedahkan identiti pelanggan multinasional berkenaan atau memberikan butiran khusus mengenai perubahan skop kerja projek tersebut dalam pengumuman terbaharunya.
Pindaan tersebut meningkatkan nilai kontrak EPC sedia ada dan bukannya membabitkan penganugerahan kontrak baharu yang berasingan. - DagangNews.com






