MCMC Sita Telefon, Kad SIM Siasat Hantaran Hina Sultan Selangor

3 Nov 2026 • 4:30 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

MCMC Sita Telefon, Kad SIM Siasat Hantaran Hina Sultan Selangor

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyita sebuah telefon bimbit dan kad SIM bagi membantu siasatan berhubung satu hantaran Facebook yang didakwa mengandungi penghinaan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

MCMC dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, kertas siasatan dibuka terhadap kandungan yang dimuat naik menerusi akaun Facebook menggunakan nama “Vikke Lee” yang disyaki mengandungi unsur keterlaluan serta menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja (3R).

Menurut kenyataan itu, satu rakaman percakapan turut diambil di Balai Polis Sri Petaling bagi membantu siasatan berkenaan.

Selain itu, sebuah telefon bimbit dan satu kad SIM disita untuk tujuan siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

MCMC memandang serius penyebaran kandungan dalam talian yang disyaki mengandungi maklumat palsu atau penghinaan terhadap institusi diraja, khususnya bahan yang berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya menggunakan media sosial secara bertanggungjawab serta tidak menghasilkan atau menyebarkan kandungan yang melanggar undang-undang. - Getaran, 3 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved