
KEHIDUPAN penduduk luar bandar terus ditambah baik membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri Johor apabila sebanyak 3,833 unit Lampu Jalan Kampung (LJK) mula dipasang secara berperingkat menerusi Inisiatif LJK Solar Fasa 1 Tahun 2026.

Tinjauan Mingguan Malaysia baru-baru ini menyaksikan kepimpinan negeri turun padang bagi meneliti sendiri proses pemasangan kemudahan berkenaan di Kampung Mensudut Lama dan Kampung Gelang Chinchin, di Segamat.
Pemasangan lampu solar turut dilakukan di beberapa daerah lain termasuklah Batu Pahat, Kluang, Pontian, Tangkak, dan Muar.
Ini semua dijalankan untuk memastikan penduduk di kawasan terbabit menikmati kemudahan asas selain mengutamakan keselamatan dan keselesaan mereka.
JALAN KAMPUNG GELAP
Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Md. Israk Abdullah, langkah itu perlu dibuat bagi menangani isu jalan kampung yang gelap, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan komuniti setempat menjelang waktu malam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor berkata, lawatan ke lapangan bertujuan memantau kerja awal meliputi penggalian tanah, penanaman tiang kukuh, hingga ke peringkat akhir pemasangan panel serta lampu solar.
“Fasa pertama pelaksanaan yang bermula sepanjang September hingga November 2026 ini menumpukan kepada enam daerah utama iaitu Segamat, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Tangkak, dan Muar.

MD. ISRAK ABDULLAH
Umur: 56 tahun
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Ukur Bahan (Quantity Surveying) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
Jawatan:
Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai
Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor
“Pemilihan lokasi tumpuan ini dibuat berdasarkan keutamaan kawasan yang memerlukan pencahayaan tambahan, khususnya di laluan utama penduduk kampung dan simpang-simpang berisiko,” terangnya.
PERUNTUKAN RM10 JUTA
Menurut Md. Israk daripada keseluruhan 3,833 unit tersebut, Kerajaan Negeri Johor di bawah kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah meluluskan peruntukan khas sebanyak RM10 juta bagi membiayai 3,333 unit LJK Solar.
Tambah beliau, baki peruntukan untuk pemasangan 500 unit lampu lagi disalurkan menerusi peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi melengkapkan perancangan pencahayaan di kawasan berkeperluan tinggi.
“Penggunaan teknologi tenaga solar ini bukan sahaja membolehkan pemasangan dilakukan dengan lebih cepat tanpa kebergantungan kepada talian elektrik utama, malah ia menjimatkan kos penyelenggaraan jangka panjang.
“Selain mesra alam, sistem lampu solar ini dilengkapi dengan bateri berkapasiti tinggi yang mampu bertahan sepanjang malam walaupun cuaca mendung,” katanya.
SEGALA ADUAN DITELITI
Sementara itu, mengulas tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat, Md. Israk memberitahu segala aduan awam diterima pihaknya akan dibincangkan melalui platform
Mesyuarat Tindakan DUN (MTD) kawasan sebelum kelulusan diberikan.
“Penglibatan aktif MTD memastikan setiap aduan diberikan perhatian dan usaha untuk mengatasi isu berkenaan diambil sewajarnya,” katanya.
Kata beliau, pihaknya melayani dan menyelesaikan masalah penduduk sama rata dalam setiap peringkat masyarakat dan fahaman politik.-UTUSAN
The post Md. Israk Abdullah komited ‘terangi’ jalan kampung di Johor appeared first on Utusan Malaysia.






