MEASAT, Boustech jalin kerjasama strategik sediakan keperluan satelit ATM

22/05/2025 - 18:18
Bersalaman (dari kiri ke kanan): Ketua Pegawai Komersial, MEASAT Global Berhad, Ganendra Selvaraj, Ketua Pegawai Eksekutif, Boustead Technology Sdn Bhd, Sharifuddin Md Zaini Al-Manaf, Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 22 Mei – MEASAT Global Berhad (MEASAT) menandatangani Helaian Terma dengan Boustead Technology Sdn Bhd (Boustech) bagi memeterai kerjasama strategik dalam menyokong keperluan satelit Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Langkawi ke-17 (LIMA 2025).
Boustech sebuah syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang memainkan peranan penting dalam membangunkan rumusan berasaskan pertahanan dan teknologi.
Antara fokus utamanya termasuk komunikasi selamat serta pembangunan infrastruktur digital bagi menyokong keutamaan negara, khususnya keperluan ATM.
Dalam jangka masa panjang, kedua-dua syarikat akan meneroka keupayaan generasi baharu bagi menyokong inisiatif Future Force ATM, dengan memanfaatkan pelancaran satelit baharu yang akan dikendalikan MEASAT.
Majlis itu diwakili Ketua Pegawai Komersial MEASET, Ganendra Selvaraj, dan Ketua Pegawai Eksekutif Boustech, Sharifuddin Md Zaini Al-Manaf.
Ia turut disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali, Pengerusi Boustead Holdings Bhd, Tan Seri Abu Bakar Haji Abdullah, wakil-wakil Kementerian Pertahanan, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), dan kedua-dua syarikat tersebut.
Ketua Pegawai Komersial MEASET, Ganendra Selvaraj berkata, sebagai pengendali satelit berdaulat negara dan syarikat tempatan yang berbangga dengan pencapaiannya, mereka berbesar hati bekerjasama dengan Boustech dalam menyokong keperluan komunikasi satelit ATM seperti digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.
"Dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam menyediakan rumusan satelit berasaskan teknologi tercanggih, MEASAT berada pada kedudukan terbaik menyokong operasi kritikal dan sensitif demi keselamatan negara," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu,Ketua Pegawai Eksekutif Boustech, Sharifuddin Md Zaini Al-Manaf berkata, kerjasama itu merupakan pencapaian penting dalam usaha Boustech memperkasa infrastruktur komunikasi selamat dan penting bagi ATM.
"Rekod prestasi MEASAT sebagai pengendali satelit berdaulat Malaysia selama lebih tiga dekad menjadikan mereka rakan kongsi yang ideal.
"Bersama-sama, kami akan meneroka dan menyediakan penyelesaian berasaskan satelit yang maju, khusus untuk operasi pertahanan.
"Kami yakin kerjasama ini akan membuka peluang baharu sejajar dengan tuntutan keselamatan negara dan daya tahan digital yang semakin berkembang," katanya.
Orang ramai dijemput mengunjungi ruang pameran MEASAT di LIMA 2025 dari 20 hingga 24 Mei 2025 di booth A073, Dewan A, Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC).- DagangNews.com
standard



