Wanita warga emas rugi lebih RM2.2 juta diperdaya pelaburan saham

LocalBusiness & Finance
14 Mar 2026 • 3:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan polis dibuat pada 13 Mac. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga emas kerugian lebih RM2.2 juta selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan skim pelaburan saham yang diperkenalkan seorang ejen sejak tahun 2023.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 13 Mac lalu kira-kira jam 11.16 pagi.

"Mangsa merupakan seorang wanita Melayu berusia 66 tahun yang diperkenalkan kepada satu pelaburan saham di bawah sebuah syarikat oleh seorang ejen.

"Pengadu telah diberikan penerangan mengenai pelaburan tersebut dan dijanjikan pulangan dividen sebanyak 10 peratus setiap tiga bulan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohamad Lazim berkata, tertarik dengan tawaran itu, mangsa kemudian membuat beberapa transaksi pembayaran secara berperingkat kepada pihak terbabit.

"Jumlah keseluruhan wang yang dipindahkan mangsa adalah sebanyak RM2,262,750,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun mangsa tidak menerima sebarang pulangan seperti yang dijanjikan sebelum menyedari dirinya dipercayai telah ditipu.

"Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.