Jangan benar puak ekstremis rosakkan keharmonian negara – Kor Ming

LocalPolitics
10 Aug 2026 • 3:52 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jangan benar puak ekstremis rosakkan keharmonian negara – Kor Ming

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia tidak boleh membenarkan mana-mana puak ekstremis merosakkan keharmonian dan perpaduan yang sekian lama terbina dalam masyarakat berbilang kaum negara ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, semangat cintakan negara perlu terus dipupuk setiap masa, bukan hanya terhad ketika sambutan bulan kemerdekaan.

Menurutnya, kepelbagaian budaya, kaum dan agama merupakan kekuatan negara yang perlu diraikan sebagai satu keistimewaan Malaysia.

“Kita jangan benarkan pihak geng-geng, puak-puak ekstremis yang cuba merosakkan keharmonian dan perpaduan yang sekian lama kita jalin bersama sebagai sebuah keluarga anak Malaysia.

“Kita perlu saling hormat-menghormati dan saling sayang-menyayangi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Dasar Perumahan Negara 2026-2035 di sini, hari ini.

Kor Ming yang juga  Timbalan Pengerusi DAP berkata, mesej penting sempena bulan kemerdekaan ialah rakyat perlu terus mempertahankan perpaduan nasional dan keharmonian masyarakat berbilang kaum.

Beliau berkata, semangat cintakan negara bukan hanya diterjemahkan melalui kibaran Jalur Gemilang, sebaliknya perlu lahir secara ikhlas dari hati rakyat.

“Dengan menjaga kestabilan negara, memupuk perpaduan nasional dan mempertahankan keharmonian masyarakat berbilang kaum, ketiga-tiga ini sebenarnya kunci kejayaan negara kita.

“Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Dusun dan Orang Asli, kita adalah satu keluarga. Kita adalah sanak saudara,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai potensi besar untuk terus maju sekiranya rakyat bersatu menjaga keharmonian dan kestabilan negara.

Katanya, negara tidak mampu berdepan satu lagi episod perpecahan kerana usaha membina semula negara memerlukan peranan semua pihak.

“Kita ada satu impian, satu negara dan satu misi. Semangat keMalaysiaan itu wajib kita pupuk dan galakkan 24 jam setiap hari.

“Itu rayuan saya kepada semua rakyat Malaysia yang cintakan negara,” katanya. – UTUSAN

The post Jangan benar puak ekstremis rosakkan keharmonian negara – Kor Ming appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved