Membina semula alam Melayu: Sejarah, bahasa dan ekonomi teras kebangkitan ummah

LocalPolitics
9 Apr 2026 • 11:28 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Penganjuran Himpunan Alam Melayu 2026 salah satu usaha membina semula kesedaran dan kekuatan umat Islam di rantau Alam Melayu. Gambar kecil: Aminurraasyid

PENGANJURAN Himpunan Alam Melayu 2026 di Terengganu yang menghimpunkan pemimpin, ulama, sarjana dan tokoh masyarakat dari seluruh rantau pada 2 hingga 4 April lalu merupakan satu usaha strategik bagi membina semula kesedaran umat Islam di Alam Melayu terhadap identiti, sejarah, bahasa dan kekuatan ekonomi mereka sendiri.

Penyertaan wakil dari Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Sri Lanka, Thailand dan Vietnam membuktikan bahawa semangat perpaduan Alam Melayu masih hidup dan berpotensi untuk dibangunkan sebagai satu jaringan tamadun serantau yang besar.

Dalam keadaan dunia Islam berdepan cabaran geopolitik, perang maklumat, tekanan ekonomi dan krisis identiti, deklarasi yang dihasilkan daripada himpunan ini mempunyai nilai yang jauh lebih besar daripada sekadar kenyataan politik.

Antara yang paling penting ialah kandungan deklarasi mengenai pembinaan semula naratif sejarah, pemerkasaan bahasa Melayu dan tulisan Jawi, pengukuhan rantaian ekonomi Muslim serta mobilisasi pengguna Islam. Kesemuanya mempunyai implikasi besar bukan sahaja kepada umat Islam di Malaysia, malah kepada seluruh rantau Nusantara.

Rekonstruksi naratif sejarah fan ketamadunan Islam alam Melayu

Himpunan ini antara lainnya menyeru supaya sejarah peradaban dan ketamadunan Islam Alam Melayu dinilai dan didokumentasikan semula bagi membersihkannya daripada penyelewengan naratif.

Seruan ini amat signifikan kerana sejarah Alam Melayu selama ini sering ditulis daripada sudut pandang kolonial, orientalis atau naratif luar yang memperkecilkan peranan Islam dalam membentuk rantau ini.

Banyak fakta sejarah mengenai peranan kerajaan-kerajaan Islam seperti Kesultanan Melayu Melaka, Aceh, Pattani, Brunei dan Kesultanan Sulu sering dipinggirkan atau dipersembahkan secara terpisah. Sedangkan hakikatnya kerajaan-kerajaan ini pernah membentuk satu jaringan perdagangan, ilmu dan kebudayaan Islam yang luas merentasi Lautan Hindi dan Asia Tenggara.

Akibat penyelewengan naratif ini, generasi muda semakin jauh daripada akar sejarah mereka sendiri. Mereka lebih mengenali tokoh dan tamadun asing berbanding ulama, pemerintah dan sarjana Alam Melayu yang pernah membina tamadun besar di rantau ini.

Justeru, cadangan supaya tokoh sejarah, ahli antropologi, ahli sosiologi dan warga pendidik membina semula naratif sejarah adalah langkah yang amat tepat.

Usaha ini bukan bermaksud menolak interaksi silang budaya atau menafikan sumbangan bangsa lain. Sebaliknya, ia bertujuan memastikan sejarah Alam Melayu ditulis dengan adil, tepat dan seimbang supaya umat Islam di rantau ini memahami bahawa mereka mempunyai warisan tamadun yang besar dan tidak wajar terus hidup dengan mentaliti rendah diri.

Pembetulan silibus dan pengukuhan jati diri bangsa

Himpunan ini juga menuntut supaya silibus sejarah peradaban dan ketamadunan Islam Alam Melayu di semua institusi pendidikan diperbetulkan dan diperkukuhkan.

Tuntutan ini dilihat wajar kerana sistem pendidikan hari ini terlalu menumpukan sejarah Eropah dan Barat sedangkan sejarah tamadun sendiri sering disentuh secara ringkas dan dangkal.

Ramai pelajar mengetahui tentang Revolusi Perancis, Empayar Rom dan Zaman Renaissance tetapi kurang memahami sejarah penyebaran Islam di Alam Melayu, peranan pondok dan pesantren, tradisi keilmuan Melayu-Islam serta hubungan diplomatik dan perdagangan yang pernah menjadikan rantau ini sebagai antara pusat penting dunia Islam.

Sekiranya silibus sejarah diperbetulkan, pelajar akan membesar dengan kefahaman bahawa identiti mereka dibina atas asas agama, budaya, bahasa dan tamadun yang kukuh. Mereka tidak akan mudah terpengaruh dengan budaya asing yang bercanggah dengan nilai tempatan.

Lebih penting, pembaharuan silibus ini dapat melahirkan generasi yang lebih yakin, berakar kepada tradisi sendiri dan pada masa sama mampu berinteraksi dengan dunia moden. Sebuah bangsa yang tidak memahami sejarahnya akan mudah dipengaruhi, dipecahkan dan diarahkan oleh pihak lain. Sebaliknya, bangsa yang memahami asal-usulnya akan lebih bersedia mempertahankan masa depannya.

Bahasa Melayu dan jawi sebagai tunjang alam Melayu

Satu lagi deklarasi lain menekankan pemartabatan Bahasa Melayu dan pengarusperdanaan tulisan Jawi merupakan antara deklarasi paling penting dan paling strategik.

Ini juga satu usaha yang murni kerana Bahasa Melayu sejak ratusan tahun dahulu merupakan lingua franca rantau ini. Bahasa inilah yang digunakan dalam perdagangan, diplomasi, keilmuan dan penyebaran Islam dari Melaka hingga Pattani, dari Aceh hingga Brunei. Malah, banyak manuskrip Islam, kitab, surat diraja dan undang-undang tradisional Alam Melayu ditulis dalam bahasa Melayu menggunakan tulisan Jawi.

Namun dalam era moden, kedudukan Bahasa Melayu dan Jawi semakin terhakis akibat pengaruh globalisasi, dominasi bahasa asing dan sikap sebahagian pihak yang memandang rendah terhadap warisan sendiri. Ini penting kerana bahasa sebenarnya bukan sekadar alat komunikasi tetapi merupakan asas identiti, perpaduan dan kedaulatan sesuatu bangsa.

Jika dapat dibangunkan korpus digital Alam Melayu yang mengintegrasikan kecerdasan buatan contohnya, manuskrip lama akan dapat diarkibkan, tulisan Jawi akan dapat ditransliterasikan secara automatik dan Bahasa Melayu akan dapat diperkasakan dalam sistem digital, pendidikan serta pentadbiran.

Jika dilaksanakan dengan serius, inisiatif ini boleh menjadikan Bahasa Melayu kembali berfungsi sebagai bahasa ilmu dan bahasa serantau. Dalam jangka panjang, ia berpotensi mewujudkan jaringan komunikasi dan kerjasama lebih kukuh antara negara-negara Alam Melayu.

Tulisan Jawi pula tidak seharusnya dilihat sebagai simbol sempit atau eksklusif. Jawi ialah sebahagian daripada sejarah dan tamadun rantau ini. Memartabatkan Jawi bererti memelihara memori sejarah, warisan keilmuan dan identiti bangsa. Tanpa usaha mempertahankannya, generasi akan datang mungkin tidak lagi mampu membaca khazanah manuskrip dan sejarah mereka sendiri.

Pengukuhan ekonomi melalui rantaian bekalan Muslim

Deklarasi seterusnya menyeru supaya rangkaian perniagaan dan rantaian bekalan produk Muslim diperluaskan. Ini adalah antara deklarasi yang paling praktikal dan berimpak langsung kepada kehidupan rakyat.

Selama ini, banyak usahawan Muslim hanya terlibat di peringkat kecil atau peruncitan semata-mata sedangkan rantaian pengeluaran, pemborongan, logistik dan pengedaran masih dikuasai pihak tertentu. Akibatnya, umat Islam sering bergantung kepada pihak luar dan tidak mempunyai kuasa sebenar dalam menentukan harga, bekalan dan pasaran.

Jika usahawan dan korporat Muslim dapat diusahakan supaya membentuk konsortium, mengukuhkan jaringan perniagaan dan membina ekosistem ekonomi sendiri dari peringkat pengeluaran sehingga kepada peruncitan, umat Islam bukan sahaja dapat melindungi diri daripada monopoli dan manipulasi pasaran, malah dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan.

Begitu juga dengan usaha mengembangkan rangkaian kedai runcit milik umat Islam bagi memberi ruang kepada usahawan Muslim untuk berkembang dan berdiri setanding dalam pasaran. Dalam dunia moden, kekuatan politik dan sosial tidak akan mampu bertahan tanpa kekuatan ekonomi.

Mobilisasi pengguna Muslim dan jihad ekonomi

Tidak lupa juga deklarasi yang menyeru umat Islam supaya menjadikan produk dan perniagaan Muslim sebagai pilihan utama. Seruan ini bukan sekadar soal membeli-belah, tetapi berkait rapat dengan konsep jihad ekonomi.

Setiap ringgit yang dibelanjakan oleh pengguna sebenarnya mempunyai kuasa besar. Apabila umat Islam memilih produk dan perniagaan Muslim, wang itu akan terus beredar dalam komuniti sendiri, membantu peniaga kecil, membuka peluang pekerjaan dan mengurangkan jurang kemiskinan.

Begitu juga dengan sedekah, zakat dan wakaf yang perlu dimanfaatkan sebagai instrumen kebajikan dan pembangunan sosial. Jika ketiga-tiga instrumen ini digerakkan secara sistematik bersama jaringan perniagaan dan kepenggunaan, maka umat Islam akan mampu membina kekuatan ekonomi yang lebih mampan.

Apa yang penting semua usaha ini tidak seharusnya disalah tafsir sebagai seruan kebencian terhadap pihak lain. Ia merupakan usaha normal dan sah untuk memperkukuh ekonomi komuniti sendiri, sebagaimana dilakukan oleh pelbagai masyarakat lain di seluruh dunia.

Sekretariat Alam Melayu: Deklarasi kepada tindakan

Keputusan untuk menubuhkan Sekretariat Alam Melayu berpusat di Kuala Lumpur pula adalah satu langkah yang sangat penting. Banyak deklarasi besar sebelum ini gagal memberi kesan kerana tiada mekanisme susulan dan pelaksanaan.

Dengan adanya sekretariat yang menghimpunkan pemimpin, ulama, sarjana dan tokoh masyarakat, deklarasi ini berpotensi diterjemahkan kepada tindakan konkrit seperti penubuhan jawatankuasa penyelidikan sejarah dan manuskrip Alam Melayu; penggubalan cadangan silibus baharu; pembangunan teknologi kecerdasan buatan untuk Bahasa Melayu dan Jawi; pembentukan konsortium ekonomi Muslim; serta pengukuhan jaringan usahawan dan pengguna di seluruh rantau.

Jika digerakkan secara berterusan, sekretariat ini mampu menjadi platform kerjasama terbesar umat Islam di rantau Alam Melayu sejak sekian lama.

Kesimpulannya, pujian perlu diberikan kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas inisiatifnya menganjurkan Himpunan Alam Melayu 2026 dalam usaha membina semula kesedaran dan kekuatan umat Islam di rantau Alam Melayu.

Sesungguhnya cabaran utama umat Islam hari ini bukan sekadar soal politik semasa, tetapi soal kehilangan sejarah, kelemahan identiti, kemerosotan bahasa dan kerapuhan ekonomi. Oleh itu, penyelesaian yang dicadangkan juga bersifat menyeluruh, iaitu membetulkan naratif sejarah, memperkukuh pendidikan, memartabatkan Bahasa Melayu dan Jawi, membina rantaian ekonomi sendiri serta menggerakkan kuasa pengguna.

Jika semua ini dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh melalui Sekretariat Alam Melayu, maka himpunan ini akan dikenang bukan sekadar sebagai satu acara besar di Terengganu, tetapi sebagai titik mula kebangkitan baharu Alam Melayu pada abad ke-21.

* Prof. Madya Dr. Aminurraasyid Yatiban ialah seorang penganalisis sosio-politik Malaysia dan antarabangsa