liza28/09/2026 - 08:48 Pelabuhan Kemaman Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA TERENGGANU 28 Sept –Terengganu Incorporated Sdn Bhd terus memperluas pelaburan strategiknya dengan projek bernilai kira-kira RM11.1 bilion dalam sektor pelabuhan, perindustrian dan tenaga boleh diperbaharui selepas mencatatkan hasil tertinggi sebanyak RM2.01 bilion pada 2025.
Antara projek utama yang sedang dibangunkan ialah perluasan Pelabuhan Kemaman bernilai RM3.1 bilion, pembangunan Kerteh Terengganu Industrial Park (KTIP) bernilai RM6 bilion serta projek Loji Fotovoltaik Solar Terapung Hibrid Hidro (HHFS) di Tasik Kenyir bernilai RM1.96 bilion.
Nilai tersebut turut merangkumi integrasi laluan rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM50.7 juta yang menyokong pembangunan Pelabuhan Kemaman, menjadikan projek-projek berkenaan antara tumpuan utama strategi pertumbuhan Terengganu Inc.
Bagi projek Pelabuhan Kemaman, Terengganu Inc menerusi anak syarikatnya KPKSB memacu usaha memperluas kapasiti pelabuhan daripada 12 juta tan metrik kepada 30 juta tan metrik setahun.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata peningkatan kapasiti sebanyak 2.5 kali ganda itu dijangka menyokong aktiviti perdagangan dan perindustrian di Terengganu, manakala integrasi dengan ECRL dilaksanakan menerusi kerjasama strategik dengan Malaysia Rail Link (MRL) dan EPIC Berhad.
Hab industri dan tenaga boleh diperbaharui
“Sementara itu, KTIP bernilai RM6 bilion dibangunkan sebagai hab industri biopolimer dan bahan kimia berasaskan bio, selari dengan usaha Terengganu Inc mempelbagaikan sumber pertumbuhan ekonomi negeri.
“Dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, Terengganu Inc turut memacu projek HHFS berkapasiti 595 megawatt arus terus (MWac) di Tasik Kenyir dengan nilai RM1.96 bilion.
“Projek solar terapung itu dibangunkan bersama TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) dan menjadi antara projek tenaga boleh diperbaharui berskala besar yang diterajui kumpulan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain tiga projek utama itu, Terengganu Inc turut memperluas penglibatan dalam sektor minyak dan gas menerusi kerjasama dengan PETRONAS Carigali, Ping Petroleum dan EnQuest.
Kerjasama berkenaan merupakan sebahagian daripada strategi kumpulan untuk meningkatkan penglibatan dalam rantaian nilai tenaga negara, selain terus memanfaatkan kepakaran dan peluang dalam industri minyak dan gas.

Hasil tertinggi RM2.01 bilion
Di sebalik pelaksanaan projek-projek berkenaan, Terengganu Inc mencatatkan hasil RM2.01 bilion pada 2025, meningkat 15% daripada RM1.75 bilion pada 2024 dan merupakan hasil tertinggi sejak penubuhannya.
Prestasi itu disokong kluster perniagaan teras iaitu perladangan, minyak dan gas serta penjagaan kesihatan yang menyumbang kira-kira 78% daripada jumlah hasil kumpulan.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) pula meningkat 116% kepada RM176.4 juta berbanding 2024, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat kepada RM106.2 juta berbanding RM42.2 juta sebelum ini.
Dalam sektor pelancongan, Terengganu Inc turut meneruskan pembangunan destinasi bersepadu Pulau Poh di Tasik Kenyir di bawah jenama Primula by The Lake bagi meningkatkan daya tarikan kawasan itu sebagai destinasi pelancongan utama.
Beliau berkata pencapaian itu membuktikan keupayaan Terengganu Inc menarik pelaburan strategik berskala besar, selaras dengan usaha kumpulan mempelbagaikan ekonomi negeri.
“Terengganu Inc akan terus melaksanakan inisiatif strategik bagi menyokong aspirasi Terengganu sebagai hab pertumbuhan ekonomi bersepadu, di samping memastikan manfaat pembangunan dikongsi bersama rakyat,” katanya.
Kumpulan Terengganu Inc turut menyalurkan sumbangan berjumlah RM16.25 juta bagi pelaksanaan pelbagai inisiatif CSR sepanjang tahun 2025, sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan dalam memberi impak positif kepada masyarakat.
Sumbangan itu merangkumi pelbagai bidang, antaranya pembangunan komuniti, pendidikan, sukan, kebajikan dan kelestarian alam sekitar, termasuk program bantuan kepada golongan yang memerlukan, sokongan kepada institusi pendidikan, pembangunan bakat dan sukan, serta inisiatif pemeliharaan alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat. - DagangNews.com





