liza25/09/2026 - 13:25 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 25 Sept – Vantris Energy Berhad memperoleh dua kontrak kerja bernilai kira-kira RM1.8 bilion bagi menyediakan perkhidmatan pengangkutan dan pemasangan (T&I) kemudahan luar pesisir untuk industri minyak dan gas di Malaysia.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata arahan kerja itu diperoleh melalui VTEB Offshore Sdn Bhd (VOSB), anak syarikat tidak langsung milik penuh Vantris Energy yang sebelum ini dikenali sebagai Sapura Offshore Sdn Bhd.
“Kontrak pertama daripada PETRONAS Carigali Sdn Bhd melibatkan kerja pengangkutan dan pemasangan (T&I) kemudahan luar pesisir bagi projek SK316 NC3/NC8 Trunkline 7 FAC, di bawah kontrak sedia ada.
“Kerja tersebut dijadualkan bermula pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Januari 2027 dan dijangka siap pada suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Januari 2028,” katanya.
Arahan kerja kedua daripada PTTEP
Arahan kerja kedua pula diberikan oleh PTTEP HK Offshore Limited dan PTTEP Sarawak Oil Limited, secara bersama dirujuk sebagai PTTEP.
Kerja itu diperoleh di bawah kontrak sedia ada bagi penyediaan perjanjian harga (Price Agreement) untuk kerja pengangkutan dan pemasangan luar pesisir bagi projek pembangunan PTTEP.
Tempoh pelaksanaannya turut bermula pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Januari 2027 dan dijangka selesai pada suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Januari 2028.
Vantris Energy berkata nilai gabungan kedua-dua pesanan kerja itu adalah kira-kira RM1.8 bilion, namun nilai setiap pesanan kerja tidak dinyatakan secara berasingan.
Sumbangan kepada pendapatan kumpulan
Dari segi kewangan, kedua-dua arahan kerja itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan Vantris Energy bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2027 dan tahun-tahun berikutnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Vantris Energy, Muhammad Zamri Jusoh berkata anugerah tersebut mencerminkan keupayaan syarikat dalam kerja pembinaan luar pesisir.
Beliau berkata tumpuan syarikat kini adalah memastikan pelaksanaan projek secara berdisiplin, penghantaran kerja yang selamat dan kecemerlangan operasi bagi menyokong penjanaan tunai yang lebih sihat.
Risiko dan kepentingan strategik
Vantris Energy berkata kedua-dua arahan kerja itu membantu mengisi semula buku tempahan syarikat serta selari dengan keupayaan teras dan objektif jangka panjang kumpulan.
Namun, projek berkenaan terdedah kepada risiko perubahan ekonomi, kawal selia dan geopolitik, selain risiko operasi serta pelaksanaan.
Syarikat berkata langkah sewajarnya akan diambil bagi mengurus dan mengurangkan risiko tersebut, termasuk memastikan pematuhan terhadap aspek kualiti, kesihatan, keselamatan dan kelestarian dan alam sekitar. - DagangNews.com






