'Menjadi orang yang dipertonton ni, kita kena banyak-banyak doa...' Amira Othman buka mulut kenapa pilih 'simpan' dulu berita hamil

EntertainmentLifestyle
4 May 2026 • 10:44 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 'Menjadi orang yang dipertonton ni, kita kena banyak-banyak doa...' Amira Othman buka mulut kenapa pilih 'simpan' dulu berita hamil

ADA bahagia yang tak perlu diumumkan terlalu awal, cukup disimpan rapi, dijaga dengan doa dan rasa syukur. 

Bagi penyanyi Amira Othman, perjalanan menuju fasa bergelar ibu adalah sesuatu yang sangat peribadi. Bukan mahu berahsia, tetapi lebih kepada memilih waktu yang tepat untuk berkongsi. Kini, saat itu tiba, tenang, sederhana dan penuh makna.

Menepati ramalan ramai, Amira kini sedang meniti hari bahagia menanti kehadiran cahaya mata sulung bersama suami tercinta, Fattah Amin. 

Walaupun berita tersebut menjadi bualan hangat, dia sebenarnya mempunyai alasan tersendiri mengapa memilih untuk tidak menguar-uarkannya lebih awal.

Bagi Amira, pendekatan itu bukan sesuatu yang baharu, malah sudah menjadi prinsip hidupnya sejak dahulu.

“Dulu nak berkahwin pun, lepas confirm baru saya kongsikan. Saya memang tak nak hebohkan terlebih dahulu sebab pada saya macam-macam benda boleh jadi dalam hidup, kan.

“Lagipun, pada saya berita sebegini seeloknya disembunyikan dahulu lah sebab kita tak tahu bagaimana, kan. 

"Jadi tiada alasan lain, melainkan mendengar nasihat daripada orang yang perlu kita dengar,” ulasnya jujur yang mengakui turut mengelak penyakit ain.

Image from: 'Menjadi orang yang dipertonton ni, kita kena banyak-banyak doa...' Amira Othman buka mulut kenapa pilih 'simpan' dulu berita hamil

Sebagai figura yang sentiasa menjadi perhatian, Amira mengakui dia perlu lebih berhati-hati dan banyak bersandar kepada doa. Katanya, dalam ramai yang mendoakan kebaikan, mungkin ada juga yang menyimpan rasa kurang senang.

“Sebenarnya jadi orang yang dipertonton ni kita kena banyak-banyak doa lah, kan. Orang baik pun ramai je tapi mungkin ada juga yang mungkin tak berapa suka ke, kan.

“Kita tak tahu hati orang, kan. Saya pun bertawakal, reda dan pada saya sudah usaha. Saya juga tidak bercakap yang bukan-bukan pada orang lain dan sebagainya. Mudah-mudahan ALLAH jaga semuanya,” tambahnya lagi yang kini lebih selesa bertawakal.

Bertemu dalam majlis rumah terbuka anjuran Rissa Skin yang turut memperkenalkan produk terbaharu, Rissa Night Silk Cream, Amira tampil tenang dan matang dalam mengawal emosi.

Image from: 'Menjadi orang yang dipertonton ni, kita kena banyak-banyak doa...' Amira Othman buka mulut kenapa pilih 'simpan' dulu berita hamil

Walaupun sedar ada sahaja suara-suara sumbang yang muncul dari pelbagai arah, dia nekad untuk tidak membenarkan aura negatif mengganggu ketenangan diri.

“Saya selalu kata, cakaplah benda baik-baik. Kita tidak tahu keadaan orang. Sememangnya, saya tak mampu berbuat apa-apa.

“Menjadi saya memang begitulah keadaannya. Ada sahaja pusing sana sini, kiri kanan, depan belakang (kata negatif).

“Tetapi yang baik itu lebih ramai. Macam biasa, ketika tidak mengandung pun saya tak ambil pay attention pada yang tidak suka saya.

“Saya hanya mampu doa moga ALLAH lindung saya dan keluarga daripada perkara-perkara yang tidak baik.

“Sebab kita tahu doa yang tidak baik, takkan makbul. Jadi, pada saya hati-hati dengan kata-kata. Sebab kita pun diuji dengan kata-kita, kan,” ujarnya tegas.

Jaga emosi, mental

Dalam fasa kehamilan yang menuntut kestabilan emosi dan mental, Amira meletakkan ketenangan sebagai keutamaan utama.

“Saya tak nak entertain, tak nak baca. Yang saya tak nak tahu pun benda-benda yang negatif. Sebab saya perlu jaga emosi saya, mental saya.

“Jadi, saya teruskan kehidupan sebab memang begitulah hidup saya, menjadi public figure, saya yakin ramai lagi orang baik yang mendoakan benda baik-baik untuk saya dan keluarga,” tegasnya lagi.

Ditanya mengenai layanan suami selepas mengetahui berita gembira itu, Amira hanya tersenyum dan memilih untuk tidak berkongsi secara terperinci. Baginya, cukuplah sekadar peminat tahu dia berada dalam jagaan yang baik.

Image from: 'Menjadi orang yang dipertonton ni, kita kena banyak-banyak doa...' Amira Othman buka mulut kenapa pilih 'simpan' dulu berita hamil

“Saya yakin sepertimana suami lain di luar sana, Fattah juga sama seperti lelaki lain yang prihatin bila bab isteri hamil.

“Okey je, Fattah suami yang sangat baik. Itu sahaja yang mampu saya jawab,” ceritanya ringkas sambil tertawa dan enggan berkongsi lanjut bimbang disalah tafsir.

Dalam perkembangan lain, Amira turut memperbetulkan tanggapan sesetengah pihak mengenai keputusannya meninggalkan dunia lakonan. Jelasnya, keputusan itu telah dibuat lebih awal dan tiada kaitan dengan kehamilan.

“Saya sudah lama tinggalkan dunia lakonan kerana tak masuk set. Tetapi saya hanya berlakon dengan UTV sebab komitmen sebagai duta dan sebagainya.

“Cuma saya kata saya punya kekangan masa tu menyebabkan saya fikir prioriti saya tu memang kepada nyanyi lah kan.

“Kalau dapat offer lakon dan nyanyi memang definitely saya pilih menyanyi. Bukan ada kena-mengena dengan kandungan dan sebagainya,” katanya lagi.